Siang asyik main, malam asyik mengigau

Begitulah ragam Umar,4 hari berdua-duaan dengan dia, fuhhhh memang betul-betul menguji kesabaran.

Siang memang tak ada erti tidur walaupun sepicing. Bermain berterusan, TV terpasang tanpa henti, pastinya Astro Ceria memanjang sampai ke petang.

Kelakarnya saya pun turut meminati cerita kartun Detektif Conan hi hi, 4 hari asyik ulang tayang cerita kartun yang sama je, akhirnya ada jugak satu yang terlekat di minda. Main je cerita Detektif Conan, Umar mesti melaung "mama, Detektif Conan dah start ni"

Dia bukannya fokus pada TV sangat tapi tetap tak nak off TV tu..dia main sorang-sorang, dia jadi Ultraman, lawan dengan raksasa, habis terbang kusyen , bantal melayang-layang. Macam-macam aksi pertarungan yang ditunjukkan, macam ada pihak lawan je...kita yang tengok terasa penat. Kejap jadi Ben10, kejap jadi power rangers..

Tadi jam 9 malam, dia minta urut-urutkan badan...penat, katanya...hmmm bukan main ye, siap mintak urut lagi.

Baru je urut tak sampai 5 minit, tengok dah terlena..ni ketika entry di taip, dah 2 kali dia mengigau menangis-nangis, menendang-nendang...

Begitulah lasaknya anak lelaki saya, anak perempuan agak cool sikit la, tak ada main ganas-ganas macam tu, paling teruk pun Nadhirah kuat berlakon je, memanjang berlakon, bercakap sorang-sorang.

Macam-macam peel anak-anak kita ni, kan? Bila dah dewasa, ragam dewasa pulak yang ditonjolkan..kata seorang kawan, baik la mereka buat perangai masa kecik daripada buat perangai bila dewasa, tak lena tidur malam mak bapak bila anak dah start buat perangai dewasa.

Apa pun itu semua pengalaman hidup yang amat bermakna dan manis untuk dikenang .


Bercuti lagi hari ni

Saya tak sangka rupanya hari ni saya betul-betul menurut kata hati untuk bercuti lagi sehari.


Apa nak dikatakan lagi ye? Ikut hati mati, ikut rasa binasa.






*** kepala ting tong disogokkan dengan 1001 cerita kartun kerana Umar turut bercuti hari ni. Hari ni hari ke 4 kena layan Umar dan Astro Ceria.

Hari ni bermulanya...

Selama ini kami suami isteri bekerja di bawah satu bumbung cuma pada tahun 2007 & 2008 ,kami terpisah kerana dia ingin mencari pengalaman baru tetapi selepas itu kami kembali sebumbung.

Hari ini kami terpaksa 'berpisah' setelah pengurusan baru mengambil alih , sebahagian daripada kami kekal di bawah pengurusan lama dan sebahagian lagi di bawah pengurusan baru.

Suami saya di bawah pengurusan lama, terpaksalah mengikut pengurusannya untuk berpindah dari bangunan yang sekian lama menjadi tempat kami mencari makan.

Suka atau tidak, bermula hari ni, saya akan memandu sendiri ke pejabat..bagusnya saya dapat balik terus ke rumah sejurus tamat waktu bekerja kerana tidak perlu menunggu suami ,kadang-kadang lebih sejam menunggu.
Tak bagusnya pulak, saya yakin, mesti terlewat sampai setiap pagi kerana pagi jalan agak sibuk dan saya tidak pandai nak menyelit sebagaimana suami saya menyelit tiap-tiap pagi.

Waktu bersama suami pastinya makin kurang kerana makin jarang jumpa...memang kat rumah boleh jumpa tetapi saya yakin dia akan pulang lambat sementelah lagi dia akan menunggang motor pergi dan balik ofis, jarak tempat kerja pun dekat, jadi makin lambat la pulangnya nanti.( walaupun bekerja sekali, kami tak ada makan sesama macam orang lain bila di pejabat, kami hanya berjumpa waktu datang dan balik je)

Apa pun itu adalah cara untuk kami mencari rezeki, terima dan redha je la..orang lain ada lagi yang begitu sukar, hidup terpisah jauh, ada yang jadi pasangan hujung minggu je...

Sebenarnya saya ni ntah kenapa semangat untuk bekerja dah lama hilang, bila kena terima situasi baru ni lagi la rasa tidak bersemangat..apa pun terpaksa la bagi motivasi pada diri sendiri kerana saya mesti kerja mungkin hingga usia 55 tahun..jadi janganlah fikir tentang malas atau tidak bersemangat..

Semoga hari ni menjadi hari permulaan yang cukup bagus untuk kita semua apatah lagi kelmari adalah hari Awal Muharram dan semalam adalah hari jadi diri sendiri. ****walaupun ketika menaip entry ni terasa nak ambik cuti yang hanya ada 2 hari je lagi tu.





Happy Birthday to ME! | Menuju ke 40

Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih menyedut udara segar pagi ni. Masih dikurniakanNYA tubuh badan yang sihat, akal fikiran yang waras, anak-anak yang sihat membesar, rumahtangga yang aman bahagia.

Lagi 2 tahun dah nak cecah 40...bukan usia yang sedikit tetapi bukan bermakna sudah tua hi hi tak ngaku tua ke? Bukan tak ngaku tapi perkara tu semua orang tau dan faham, yang penting pengisian kehidupan kala usia makin meningkat.

Semoga saya menjadi lebih baik dan lebih baik dan lebih baik dalam segala hal walaupun mustahil kerana kita sebagai manusia biasa pasti ada kelemahan namun niat yang baik pasti diredhai Allah. Sekurang-kurangnya dapat jadi lebih baik berbanding hari-hari yang telah di tinggalkan .

Nampaknya cuaca terang benderang hari ni , segalanya pun nampak tenang je. Satu permulaan usia 38 tahun yang baik nampaknya.

Hmmm.....tadi suami tanya , nak apa-apa ke sempena birthday ni? Saya cakap nak duit puluh-puluh ribu, nak bayar hutang segala hutang piutang dan lepas tu nak berhenti kerja, duduk rumah.

Suami cakap, tunggu lah mungkin 5 hingga 10 tahun lagi la kot baru dapat hadiah tu..

he he saja je saya usik-usik dia...duit ringgit boleh di cari , kebahagiaan yang ada penting untuk dikekalkan, saling memperbaiki lagi kualiti kehidupan dan tanggungjawab .

Ok, panjang berceloteh dihari jadi nampaknya.


Novel My Love is Playgirl

Hari ni sesi tayang gambar novel dan majalah je..** memang tak ada idea nak menulis entry.

Baru saja selesai membaca novel Biarkan Ia Berlalu, fuhhh tebal dan mengambil 2,3 hari untuk selesaikan membaca...nanti kalau rajin saya buat ulasan.

Ada 5 novel yang sedang menanti di atas meja....salah satunya adalah yang ni:

Dah ada yang baca dan memang ramai yang dah baca sebenarnya...saya je yang lambat sokmo..tak apa, biarlah lambat , jangan tak langsung.

Ok..selamat malam..jangan jadi playgirl ye!



***** UPDATE PADA 17/12/11  -  NOVEL NI TAK BEST DAN RASA RUGI SANGAT SAYA BELI.

Novel Kelat-Kelat Sayang

Baru perasan novel ni ada atas meja sejak minggu lepas lagi, belum belek pun lagi..kawan kat ofis bagi , suruh baca dan kalau rajin buat review pada blog...hmmm belum ada masa untuk novel ni kerana tengah kusyuk membaca BIARKAN IA BERLALU.



** Dah ada yang baca ke?

Majalah Anjung Seri Disember 2011

Baru je beli tadi..tak sabar nak belek gambar hiasan rumah...

Sudah kah anda semua memilikinya?? Cewah macam iklan la pulak, tak ada kaitan dengan pihak Anjung Seri pun, saja je nak bagi promo percuma he he.

Alexa Ranking Jendelahidup.com pada 1 Muharram

Dah lama gila tak check Alexa Ranking untuk blog ni, saja je tengok...tengok tak tengok sama je tapi disebabkan kebosanan, kita check je lah.

Itulah keputusan yang dipaparkan....hmm bila agaknya nak duduk dalam kelompok bawah 100K? Dalam mimpi je la kot.

Sunyinya dimalam ini, suasana sepi

Malam ni betul-betul kesunyian dan kesepian *** semacam pulak ayat intro entry ni. Macam ni la agaknya yang mak dan makcik saya lalui saban masa.


Umar tidur semenjak pukul 7.30 malam lagi, memang la agak lega bila melihat dia mula terbongkang tidur kerana dapat berehat sementelah hari ni langsung Umar tidak berhenti daripada mengemas rumah*** kemas dalam erti kata sebaliknya.


Bila dah berjam mengadap blog, saya rasa bosan pulak, nak bercakap tak ada sesapa pun yang boleh dijadikan teman borak, nak call suami di kampung macam tak best pulak sebab dia baru je call lepas Maghrib tadi, dah bersembang sepatah dua kata dengan Nadhirah jugak.


Bila saya berseorangan begini, saya memang malas nak mengadap TV, novel pun terbiar je, nak tidur pun tak lena, terkebil-kebil je tadi lepas off PC kejap, bangun on PC semula.


Sesungguhya beryukurlah mereka yang mempunyai ahli keluarga disisi, sekurangnya kesepian tidak menjengah.


Kala ini memang saya terkenangkan kesunyian dua insan terdekat dalam hidup saya, MAK dan MAKCIK.


Mereka berdua melalui kesunyian ini dengan penuh keredhaan sekalipun sakit sebenarnya di sudut hati. 


Saya bersyukur ada suami dan anak-anak, walaupun mulut membebel bila mereka bising, mereka sepahkan barang, berat tulang bila saya meminta pertolongan namun itu lebih baik daripada sunyi sepi begini.


Akhir kalam, saya titik kan dulu entry ni dengan harapan sahabat semua tidak kesunyian malam ni.

Salam Maal Hijrah 1433

Berlalu sudah 1432 Hijrah, menoleh ke belakang, masih banyak perlu di tambahbaik lagi dalam kehidupan seharian ni...

Tadi lepas solat Maghrib termenung seketika, mengenangkan betapa banyaknya yang saya lalai dalam hidup ni dalam usia sebegini.

Semoga kedatangan tahun baru Islam ini, saya menjadi lebih baik daripada hari-hari semalam. Banyak yang saya impikan dan niat pada hari ni, , tambahan pulak tahun ni harijadi saya jatuh pada 2 Muharram 1433 H.

Sebenarnya malam ni rasa sunyi sebab Nadhirah dan suami berada di Tampin, rumah mertua sekarang, manakala Umar dah pun lena, bila sendirian begini kita akan jadi senang untuk muhasabah diri, melihat kembali ke dalam diri.

Betapa kerdilnya diri ini dan terasa sungguh cetek ilmu di dada. Semoga saya sentiasa ingin berusaha mencapai apa yang saya impikan dan tidak pernah merasa cepat berputus asa. Semoga saya menjadi hambaNya yang taat pada perintahNya, isteri solehah, anak yang sentiasa mendoakan ibubapa, anak yang sentiasa mengingati ibubapa,ibu contoh kepada anak-anak, pekerja yang rajin dan patuh pada suruhan bos ( yang ni nampaknya banyak nak kena perbaiki sebab asyik malas kerja je), dan semua yang baik-baik.

Salam Maal Hijrah kepada semua sahabat yang sudi singgah di blog ini. Semoga sahabat semua berada di bawah lindunganNYA

Syok berangan, terlajak sampai ke Pudu


Tengah hari semalam ke pejabat Nuffnang untuk ambik tiket wayang, dapat je tiket terus ke LRT Bandaraya.

Menunggu tak sampai seminit, tren pun datang, cantikkk bila dapat tempat duduk, terus la bersandar, panas kat luar tu tadi..

Tak sangka pulak terlalu syok bersandar dalam tren tu saya boleh tak tersedar tren dah berhenti di Stesyen Hang Tuah yang mana sepatutnya saya turun.

Bila teettttt teettttt bunyi isyarat pintu akan ditutup, saya macam blur blur berdiri nak melangkah keluar tapi pintu mula tertutup perlahan-lahan, saya pasti ada yang memandang gelagat saya kerana tak ramai penumpang tika itu.

Saya malu nak melihat penumpang lain , hanya mampu memandang pintu yang tertutup dan tren terus bergerak hingga ke stesyen Pudu.

Pintu terbuka je, terus kaki ni melangkah keluar dengan sedikit debaran di dada kerana saya ni memang cepat menggelabah orangnya, walupun saya berlagak tenang je tapi gemuruhnya hati ni tak ada sapa yang tau …

Saya sangkakan perlu membeli tiket baru rupanya tak perlu pun, tunggu je tren datang untuk ke Stesyen Hang Tuah.

BIla dah masuk ke dalam tren menuju ke Stesyen Hang Tuah baru la hati terasa tenang .

Hmm dah lama saya menggunakan perkhidmatan LRT kalau nak ke KL dari ofis, ni kali pertama kes terlepas tren berlaku pada saya.

Satu pengajaran untuk saya adalah perlu sentiasa berada di dalam keadaan sedar, pendek kata jangan suka-suka nak mengelamun , sendiri tanggung akibat.

Lagi satu pengajaran, jangan cepat panik walau berada di dalam situasi yang macam mana sekali pun.

** kawan –kawan , ada kes macam saya ni?

Tak semudah itu untuk melepaskan dia pergi..

Cuti sekolah dah pun bermula minggu ni, seperti tahun lepas Nadhirah akan ke hulu ke hilir sepanjang tempoh percutian ini.


Esok Nadhirah akan dihantar oleh abah dia,saya awal-awal lagi tak nak ikut kerana bimbangkan Umar yang pastinya turut nak tinggal sana.


Seperti tahun lepas jugak, sepanjang cuti saya dibebani rasa bersalah kerana terpaksa membiarkan dia sekejap di Terengganu, sekejap di Tampin.

Tahun ni Nadhirah memilih untuk tinggal bersama wan dan atuk di Tampin, saya akui mak saya agak sedih kerana tahun lepas Nadhirah memilih untuk tinggal bersama nenek ( mak saya) di Terengganu selama 3 minggu.


Selama 3 minggu itu , mak saya ada teman kala memasak, teman borak time sebelum mata terlelap tiap-tiap malam, Nadhirah akan mengaji bersama-sama nenek.

Nampaknya tahun ni mak saya kekal kesunyian namun begitu mak saya akur, Nadhirah turut memiliki atuk dan wan..dan saya membiarkan Nadhirah membuat pilihan ke mana arahnya untuk dia tinggal sepanjang bercuti. Namun saya amat berharap Nadhirah memilih untuk pulang jugak seminggu dua ke rumah nenek di Terengganu. 

Elok jugak la Nadhirah pulang ke Tampin dulu buat masa ni kerana hujan sentiasa lebat di Terengganu, dah reda keadaan musim bah, boleh bercuti bersama nenek pulak.

Saya pastinya sedih untuk melepaskan Nadhirah pergi, sama saja kalau dia berada dengan mak saya atau pun dengan mak mertua saya, tetap juga dia berjauhan. 

Apa pun situasi tetap saya perlu lalui ,tak tau sampai bila , mungkin hingga saya berusia 55 tahun kot.

Banyak yang kita fikirkan untuk melepaskan anak pergi sekalipun untuk melepaskan dia pada atuk ,wan atau pun nenek. 

Apa pun saya yakin, samada atuk, wan atau nenek pastinya menjaga cucu kesayangan mereka itu dengan penuh kasih sayang. Apatah lagi itu la satu-satunya cucu perempuan yang mereka ada.

***tiba-tiba pulak saya merasa jauh hati, ntah la kenapa malam ni macam emo pulak dah...mungkin sebab Nadhirah happy dan tak sedih pun untuk berpisah kot.


24 November datang lagi...

Jam di dashboard PC 11.46 malam...lewat betul saya dapat online...

Hari ni 24 November 2011, bermaknanya 22 tahun sudah arwah ayah saya kembali ke rahmatullah.

Pemergian kerana kemalangan jalanraya seusai makan tengahari dan ketika hampir solat Jumaat.

Meninggalkan 6 anak yang masih kecil ketika itu dan seorang isteri yang sedang sakit.

Menoleh ke belakang ,  getirnya masih lagi terasa. peritnya menjadi anak yatim,menumpang kasih pada tok dan tok ayah ( telah pun meninggal 5 tahun lepas).

Kini, semua sudah berlalu, kami sudah pun dewasa dan hidup bahagia seadanya.

Mak kian di mamah usia, melalui hari-hari sunyi tanpa suami.

Berkongsi tarikh yang sama dengan pemergian arwah ayah adalah tarikh kelahiran adik keempat saya..katanya suatu masa dulu " mesti orang akan lupakan tarikh lahir dia kerana orang lebih mengingati tarih kematian ayah"

Kami adik beradik sentiasa ingat kedua-dua peristiwa tu tiap kali hadirnya 24 November.

Hmm secara kebetulan, November adalah bulan untuk kami lebih mengingati mereka di dalam keluarga yang telah pergi mengadap Illahi. Bermula arwah ayah, arwah tok cik, arwah tok, arwah tok ayah, arwah atuk sebelah suami .

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh  mereka dan semoga ditempatkan dikalangan mereka yang beramal soleh .

Aflatihah untuk arwah Yusof bin Kassim



Masa kah yang menjadi halangan?

Sekarang ni walaupun PC dah ok, saya masih banyak terhutang blogwalking ke blog sahabat  , hutang komen mengomen dan hutang entry.


Kalau dulu mampu publish entry 5 sehari, sekarang ni hanya mampu satu atau dua je..itu pun macam nak pecah kepala berfikir nak taip apa.


Mungkin sebab masa menghimpit kot, otak tak dapat nak berfikir jauh...sekarang ni memang waktu untuk gunakan PC ni lepas anak-anak tidur, lawaknya mama ni pulak yang lebih awal tidur, konon nak temankan anak tidur dan bangun semula untuk berblog tapi hampeh, bangun kala azan Subuh berkumandang.


Dulu saya masih boleh bangun jam 3-4 pagi tapi kini tak mampu, rasanya sebab berat badan memang mempengaruhi la semua ni. Ishhh malas la nak bicara pasal berat badan.


Kenapa la kat ofis saya tu tak ada internet access untuk semua staff...tak nak bagi full access sepanjang masa cukuplah kalau diberikan masa untuk internet ketika lunch hour. 


Handphone tu boleh membaca entry tapi tak boleh nak komen, jadi sama la jugak macam tak buat blogwalking.


Itu la sebabnya sekarang ni saya lebih banyak menghabiskan masa dengan NOVEL , kalau membaca novel ketika anak-anak sedang menonton, tiada siapa yang cemburu, tapi cuba la kalau on PC ketika mereka sedang menonton, mesti ada je yang cemburu hati.


Nampaknya , senang cerita berblog la ketika betul-betu ada masa untuk itu dan tak boleh lagi nak tetapkan masa seperti sebelum sebelum ni. 


Dulu sempat publish satu entry ketika lepas Maghrib sebelum makan malam, publish lagi ketika anak-anak sedang menonton,awal pagi mengadap blog lagi...mungkin sekarang ni kena belajar lupakan seketika cara berblog seperti itu, mungkin sebab tu PC ni rosak hari tu sebagai satu amaran atas kelekaan dan alpa.


Terima kasih untuk mereka yang sudi membaca entry di Jendela Hidup ni.

Novel Biarkan Ia Berlalu .....sedang baca


Sekarang novel ni dah dapat kat tangan saya, dah pun memulakan proses membaca sepintas lalu, kata kawan cerita ni best dan dia membaca non stop untuk mengetahui keseluruhan isi cerita.

Saya belum dapat buat sebarang ulasan sebab baru je belek depan, belek tengah, belek belakang...kalau tengok sinopsis kat kulit belakang novel macam agak menarik la.

Ni saya copy sinopsisnya:


Pengkhianatan dan sikap dengki Tan Sri Khalid terhadap keluarga Nadia telah mengubah kehidupan gadis itu. Namun dia tetap tabah menerima untuk hidup dalam kesederhanaan selagi Johan anak Tan Sri Khalid sentiasa di sisi. Sehingga pada satu tahap kesabarannya telah goyah apabila Johan sendiri telah memutuskan hubungan mereka semata-mata kerana beberapa keping gambar ‘panas’ hasil pakatan mummy Johan, Puan Sri Normah dan calon menantu kesayangannya, Erin. Sejak daripada itu, telah tersemat satu perancangan untuk membalas dendam terhadap keluarga Johan.

Lima tahun Nadia membawa diri ke luar negara di samping mempelajari selok-belok perniagaan daripada Jason, seorang ahli perniagaan yang berjaya di UK. Dalam tempoh itu juga Nadia telah berjaya menubuhkan Friends Corporation di Malaysia sambil dibantu oleh dua sahabat karibnya: Tiara dan Baby. Nadia memberi sepenuh kepercayaan kepada dua sahabatnya itu untuk menerajui Friends Corporation di samping mempunyai muslihatnya tersendiri. Setelah mendapat tahu Johan akan berkahwin dengan Erin, Nadia pulang ke tanah air dengan membawa seribu satu azam.

Di Syarikat Friends Corporation telah menemukan Nadia dengan Syafiq, akauntan hebat syarikat mereka. Namun, untuk melicinkan rancangan balas dendamnya terhadap Tan Sri Khalid, Nadia terpaksa merahsiakan identitinya sebagai pemilik sebenar Friends Corporation daripada sesiapa termasuk ibu, Abang Im dan juga Syafiq. Oleh itu, Nadia memohon jawatan sebagai setiausaha kepada Syafiq a.k.a Lion King! Sikap keras kepala dan suka melawan Nadia menyebabkan Syafiq tertarik untuk menerima Nadia sebagai setiausahanya.

Nanti dah habis baca, saya akan share kat sini.

Novel Rindu Cintaku Sekuel Ombak Rindu



Baru selesai membaca novel ni , keluarnya dah lama tapi baru dapat novel ni daripada kawan baik ka ofis tu, sang pencinta novel.

Tak tau pulak saya masih ada sekuel novel Ombak Rindu selepas Ombak Rindu dan Cinta... Tiada Akhirnya.

Kawan ofis tu selongkar balik novel kesayangan bila mendapat tau Filem Ombak Rindu bakal menjengah pawagam tak lama lagi.

Dalam novel ni, sekali lagi keutuhan cinta Hariz pada Izzah teruji, kedudukan Hariz di Sufiah Holding disingkirkan setelah adik susuannya, Hazirah memegang tampuk kuasa.

Izzah digambar hilang ingatan sebelum ni dan novel ni dia mulai mendapat kembali memori lama, Elin bekas adik ipar Hariz yang pernah menaruh hai pada Hariz telah memerangkap Hariz yang mana akhirnya membawa kepada kehilangan Izzah selama 4 tahun. Izzah sekali lagi meninggalkan Hariz, nampaknya.

Kali ni muncul watak ZulFaris** terkebil-kebil jap nak mengingat dari mana datangnya dia ni sebelum ni..ohhh rupanya dari novel Setia Menanti..kesiannya En.Zul ni mengharapkan pada yang tak sudi.

Watak Kelvin dan Roland muncul lagi, sebelum ni pernah muncul di dalam novel Ombak Rindu, ketika Izzah menjadi GRO di pub dan ketika itulah detik permulaan antara Hariz dan Izzah ..maknanya Roland dan Kelvin adalah 2 manusia yang tau kisah gelap Izzah.

Saya suka part dihujung cerita, ketika Izzah pulang dari luar negara, datang jumpa keluarga Hariz, Armand dengan sportingnya membawa Izzah berjumpa dengan ayahnya tanpa pengetahuan Izzah ke ladang. Saat ni agak menyentuh hati sikit, apatah lagi munculnya watak :'Tuan Haji' ...

Watak Tuan Haji adalah Hariz selepas 4 tahun ditinggalkan, selepas berjaya mempunyai ladang pertanian, masih kekal dengan rasa cinta yang mendalam pada Izzah.

Hebat betul Fauziah Ashaari garap cerita ni hingga menjadi 3 sekuel yang tak jemu dibaca.

Tahniah untuk Fauziah Ashaari, semoga novel ini berjaya sebagai filem hebat walaupun saya agak negatif dengan pemilihan pelakon untuk filem ini.


Happy Birthday from Nuffnang and TGV Cinemas!



Saya terima email ni 2 minggu yang lepas, dapat tiket free sempena birthday...kebetulan dah lama tak masuk panggung sejak melanggan filem dari Astro First...bagaikan orang mengantuk disorong bantal la nampaknya.

Sabtu ni anak dara saya, Nadhirah akan dihantar balik Tampin sepanjang cuti sekolah akhir tahun yang panjang ni, jadi sebelum dia balik sana, saya bercadang untuk menonton wayang. Filem pilihan kami "AKU BUKAN TOMBOY" pada sebelah pagi Sabtu tu....

Itu saja la kot filem yang ada dalam benak Nadhirah buat masa ni memandangkan tiket free ni tidak termasuk tiket wayang 3D, kalau dapat untuk wayang 3D memang kami pilih filem PUSS IN BOOTS.

Terima kasih banyak-banyak untuk pihak NUFFNANG kerana menghargai harijadi para nuffnangers dengan tiket wayang percuma.

Semoga kami sekeluarga berpuas hati la dengan filem Aku Bukan Tomboy tu nanti.


Akhirnya PC ok sepenuhnya!

Semalam satu hari suntuk tak dapat guna PC sebab kerja-kerja baikpulih sedang dilakukan oleh tuan pc.


Menahan rasa je le sementara menunggu PC ni siap,akhirnya tengah malam tadi tuan pc bagitau :
"ok, dah boleh berblog macam biasa"


Pagi ni sempatla update entry ringkas sebelum pergi kerja.


***Terima kasih untuk suami yang memahami minat bini dia ni.(walaupun dia masih tak terbuka hati nak hadiahkan netbook atau apa-apa gajet untuk memudahkan saya berblog, dengan alasan takut saya terlebih ralit ) kesudian belau membetulkan PC ni dah cukup buat saya berbesar hati.

Review Novel 7 Hari Mencintaiku

Fuhhhhh saya membaca novel ni non stop sepanjang hari kecuali untuk perkara-perkara yang wajib je..kebetulan semalam memang saya tak bekerja...memang pulun membaca je la .


Novel ni memang tebal , paling tebal kot setakat ni, 1050 muka surat...tapi bila start baca memang dengan sendirinya tak nak stop.

Saya mula meminati novel Siti Rosmizah, nampaknya. Tadi macam plan nak jual semula novel ni tapi sekarang terasa sayang pulak kerana terasa seperti ada keistimewaan yang tersendiri pulak.

Ceritanya memang best cuma ada part-part yang agak meleret, mungkin itu yang menjadikannya agak tebal daripada biasa, bila dah nak masuk ke part-part penghujung tapi bukan la betul-betul penghujung, memang keseronokan membaca semakin terasa, time tu la airmata turut mengalir kerana banyak menyentuh emosi.

Mengisahkan Dr Khuzairi yang jatuh cinta pada Mia Adriana sejak sekolah rendah lagi. ...walaupun hanya setahun saja mereka bersekolah di sekolah yang sama, rasa cinta dalam hati Khuzairi kekal hingga dewasa.
Mia ni anak orang kaya, sombong, berlagak, angkuh serta sangat-sangatlah memandang hina kepada orang miskin, orang kampung, orang yang tak berpelajaran.

Mereka bertemu semula selepas bertahun-tahun berpisah...Mia yang akan berkahwin dengan lelaki pilihan akhirnya menerima takdir Allah terpasa berkahwin dengan Dr Khuzairi yang amat dibencinya sejak dulu lagi kerana tunang Mia menghilangkan diri pada hari perkahwinan yang telah ditetapkan . Dr Khuzairi menerima permintaan ayah Mia bagi menggantikan tempat tunang Mia bagi menutup malu .

Start dari hari mereka berkahwin hinggalah mendapat cahayamata , memang banyak sangat perkara yang Mia ni buat untuk menyakitkan hati Dr Khuzairi, tak nafikan saya yang tengah membaca ni rasa nak bagi pelempang je pada Mia ni, mulut dia sangat-sangat la berbisa.

Dr Khuzairi ni digambarkan sebagai seorang lelaki yang sungguh sabar, uji la dia dengan macam-macam makian, dia masih cool.

Dia sayang isteri , dia juga sayang mak dia...dia cuba melakukan segala yang terbaik untuk mereka yang dia sayangi...sekalipun dia menjadi tak tentu hala dibuat dek mereka-mereka ni semua.

Kalau anda ada niat nak baca tapi masih belum baca, mula la membaca novel ni, memang tak penat walaupun tebal.

Tahniah untuk SITI ROSMIZAH!

Novel Biarkan Ia Berlalu

Dah ada yang baca ke?


Tadika Naluri Kreatif - Hari Anugerah Cemerlang 2011

Macam-macam tadika yang ada sekarang ni, kan? Ada yang mahal, ada yang agak rendah yurannya dan semua tu bergantung kepada kemampuan ibubapa serta proses pembelajaran yang disediakan.

Bermula dengan Nadhirah yang dihantar ke Tadika Naluri Kreatif, diikuti pula dengan Umar ke tadika yang sama, peningkatan yuran bulanan agak ketara, sejajar dengan kenaikan harga barang pada masa kini.

Kenaikan yuran tahunan dan pendaftaran kali ni amatlah 'terasa' kerana paling tinggi sepanjang 4 tahun anak-anak saya di situ. Nadhirah pernah 2 tahun di situ, Umar pula bakal memasuki tahun ke 3 di situ.

Petang ni , saya agak lega bila pihak Tadika Naluri Kreatif menghubungi saya menawarkan diskaun yang agak istimewa bagi yuran pendaftran dan yuran tahunan 2012 nanti.

Terima kasih la untuk pihak Tadika Naluri Kreatif kerana memberi perhatian kepada kami para ibubapa yang bukanlah bergaji besar tetapi di dalam masa yang sama berhajat untuk terus menghantar anak-anak ke tadika tersebut.
Saya berpuas hati dengan cara pembelajaran di sini kerana lebih menekankan kepada pendidikan kreatif yang mana pelajar lebih banyak belajar secara bermain dan bersukaria.

Setiap bulan mereka belajar mengikut tema yang tertentu contohnya: Tema Alam Sekitar, Tema Mengenal Anggota Badan, Tema Warna.

Selain tu, Kelas Fardu Ain turut disediakan kepada pelajar yang memilih untuk tinggal sepenuh masa hingga petang, jadi mereka akan diteruskan dengan pelajaran Fardu Aini kala pelajar lain pulang ke rumah sekitar jam 11.30 pagi.
Umar kerap kali jadi imam walaupun memang tidak sempurna, sesuai dengan usianya yang bakal mencecah 5 tahun Disember nanti. Agak mengujakan kerana pada usia begitu Umar dan rakan-rakan di tadika sudah pun mula belajar solat, mengaji dan belajar asas-asas fardu ain.

Lusa akan diadakan Hari Anugerah Cemerlang Tadika Naluri Kreatif, Umar mengambil bahagian di dalam persembahan berkumpulan, menyanyikan lagu POKOK dan TWINKLE-TWINKLE LITTLE STAR.

Tahun lepas, Umar tak menyertai sebarang persembahan ketika Hari Anugerah Cemerlang walaupun dia berlatih sakan bersama rakan-rakan, tau jelah time tu semua perkara dia nak lakukan bersama mama. Hinggakan naik ambik hadiah atas pentas pun bersama mama..adooiii la Umar ni.


Saya yakin tahun ni dia pasti tak hirau mama lagi dah bila dah jumpa kawan..mesti berseronok atas pentas nanti.

Kenangan ketika kali pertama Nadhirah menjayakan persembahan tadika


Jadi dayang kepada raja..tak layak jadi puteri he he




Ketika Hari Sukan....



*** maaf le, gambar ulangtayang , ini je la yang ada dalam PC yang hidup segan mati tak mau ni.






Anugerah Kecemerlangan dan Khatam Al Quran

Petang tadi bermula pukul 2 petang, berlangsungnya majlis Anugerah Kecemerlangan dan Khatam Al Quran bagi pelajar SRA Sungai Tua.

Ketika melihat 39 pelajar tahun 6 beramai-ramai membaca Muqaddam untuk Majlis Khatam Quran, saya terasa sebak dan sangat terharu, mungkin kerana bangga melihat pelajar-pelajar tersebut sudah pun khatam Quran. Tercebik-cebik bibir menahan perasaan sebak.

Sekali lagi perasan menjadi terharu dan sebak melihat seramai 53 pelajar tahun naik ke pentas untuk menerima hadiah cemerlang Peperiksaan Sekolah Rendah Agama yang baru saja diumumkan keputusannya semalam.

Harapan yang sama dipanjatkan untuk kedua anak saya, semoga menjadi sebagus mereka yang di pentas siang tadi.

Terkenangkan ucapan pihak pengetua, didiklah anak cemerlang akademik, cemerlang sahsiah, jadikanlah kita dan keluarga kita sebagai pencinta Al Quran. Besar pengertian di sebalik harapan yang diucapkan oleh puan pengetua.
Sesungguhnya amat sukar mendidik anak-anak zaman sekarang, ditambah dengan dugaan yang sangat mencabar, saya sebagai ibu yang tidak berpelajaran tinggi perlu sentiasa bersedia untuk menimba ilmu agama dan keibubapaan yang lebih banyak lagi.

***PC saya masih belum ok untuk transfer gambar dari kamera ke PC..jadi tak dapat la nak upload gambar.








Buffered Earning - MASIH WUJUD KE?

Blog sendiri memang dah lama tak dapat BE ni...blog orang lain tu tak tau le.

Biasanya kala blogwalking, mesti jumpa beberapa blog yang update tentang BE yang mereka dapat tapi sekarang macam dah lama tak jumpa entry-entry mengenai BE ni.

Adakah orang tak nak share lagi dah earning depa atau pun memang tak dapat apa-apa BE macam blog Jendela Hidup ni?

BE ni satu inspirasi jugak sebenarnya dalam berblog, kalau check sekali tak ada, check 2 kali tak ada, lama-lama fed up dah nak jenguk dashboard Nuffnang, tapi dalam fed up tu memang wajib jenguk sekali sehari sekurangnya.

Biasalah kalau ada sedikit ganjaran, semangat tu lebih mari sikit la...memang macam budak-budak tapi kalau dah namanya manusia, mana ada yang menolak untuk menerima sebarang bentuk ganjaran, bonus, atau apa jua bentuk pemberian percuma.
Ni sejak PC rosak hari tu sampai hari ni , walaupun PC ni boleh lah dikatakan ok sikit berbanding hari tu, mood untuk kembali berblog seperti sebelum ni agak kurang mari. Ni satu peel cukup tak bagus, bila tengok orang dapat earning banyak mulalah mengigau nak jugak tapi komitment ke laut.

Apa-apa pun, selamat berblog untuk kawan-kawan..malam ni boleh blogwalking lebih sikit, anak-anak tidur sejak pukul 7.30 tadi lagi.















Penangan Cili Padi

Alkisahnya, saya ni sakit perut sejak petang semalam hinggakan langsung tak dapat lelapkan mata sepanjang malam tadi, sakitnya disekitar bawah tulang rusuk kanan ke kiri, keras sangat bahagian tu..bila ditekan dan diurut terasa sengkak sekali...dah jenuh sapu minyak panas, tak jugak keluar angin. 

Menjelang Subuh tadi, saya muntah-muntah angin, lepas tu terus lega dan dapat lena hingga 6.30, syukur sangat rasanya walaupun sekejap je dapat lelapkan mata.

Pagi tadi, sampai ofis terus takut-takut nak makan, risau kalau-kalau sakit perut semula, dalam risau-risau tu habis satu bekas polisterine bihun goreng panas-panas dari foodcourt.
Sekitar 12 tengah hari perut kembali sakit, sengkak semacam, terus ke klinik ofis, doktor cakap mesti makan banyak cili beberapa hari ni, perut berasid, kena kurangkan makanan berlemak dan berminyak serta jauhi makanan pedas untuk beberapa ketika.

Memang betul la, sejak Rabu minggu lepas, saya macam tak boleh kalau tak ada cili padi, orang Terengganu panggil "lada jarum"..setiap kali makan, mesti nak taburkan cili padi potong dalam makanan.

Makan nasi goreng, maggie, makan nasi berlauk, semuanya ada ditabur cili padi potong, saya pun tak pasti kenapa saya terlalu ikut nafsu sangat, padahal dulu pernah terkena macam ni, betul la Tun Dr Mahathir cakap, "melayu mudah lupa" ...sekarang dah terkena kali ke 2, memang seksa....doktor bagi pil buang angin.

Tengah hari cuma jamah kuih je, balik kerja jamah nasi sesuap dua....serik dah rasanya walaupun tanpa cili padi makanan kurang sedap...dulu tak ada la suka sangat dengan cili padi, sejak berkahwin dengan orang Nogori dah jadi gian cili padi pulak dah...orang Nogori nampak rileks je tak adalah teruk sangat membaham cili padi.
Lega malam ni, dah mula keluar angin ..sendawa berkali -kali....tengok cili pun terasa fobia tapi untuk sehari dua je la fobianya...lepas-lepas ni mesti tak serik punya..

*** kawan-kawan, ada yang sakit perut macam saya tak?
















Dendam Terbalas!

Tajuk je yang sadis ..ceritanya cuma nak bagitau hari ni sungguh puas hati dapat 3 jam mengadap blog tanpa sebarang gangguan.

Dapatlah terjah ke blog baru , blog yang memang dah regular, blog yang jarang-jarang terjah.

Ok lah, itu je pun yang nak diberitahu.

Sebelum mereka 3 beranak balik dari ofis, baik saya off dulu sebab rumah sedang berkecah setelah mereka bertiga kecahkan sebelum ke ofis pukul 11 tadi.









Mozilla Firefox pun boleh la...

Alhamdulillah, walaupun PC masih nyawa-nyawa ikan, saya dah boleh menggunakan internet semula tetapi dengan menggunakan Mozilla Firefox...sebelum ni kami kat rumah ni menggunakan Google Chrome..selagi belum format semula PC ni memang tak dapat nak guna Google Chrome.

nanti boleh la berblog seperti biasa...kena arrangekan masa semula nampaknya.

Novel Sehangat Asmara - Aisya Sofea

Biasalah, sejak komputer rosak, banyak masa dengan novel..itulah kebetulan pulak kawan ofis bawak berkotak-kotak novel untuk dijual...hmmm macam orang mengantuk disorongkan bantal la jadinya.


Tak perlu la kot nak tulis sinopis sebab rasanya dah ramai pun yang dah baca novel ni sebab dah lama keluar di pasaran..saya pun baca untuk kali ke 2 dah ni.







Novel 7 Hari Mencintaiku - Siti Rosmizah

Siapa dah baca novel ni?

Kredit gambar untuk http://cahayahatiku-lyafrina.blogspot.com


Baru bercadang nak beli novel terpakai ni, kawan ofis jual..tapi berbaloi tak agaknya? tebal gila novel ni.


Kalau ada yang dah baca, boleh share-share kisahnya macam mana..kawan yang jual tu cakap "boleh lahhhh"


mcm tak best je...

NUFFNANG MALAYSIA

Oleh kerana saya sudah lama tidak berblog dan akan slow hingga akhir tahun, pencapaian blog ni pun turut slow.


UV blog saya sekitar 100-120 sehari *** sangat ok bagi saya yang tidak blogwalking


Earning - tak ada buat masa ni , kebetulan saya baru je cashout sehari sebelum komputer rosak untuk kali pertama, walaupun tak la banyak cukuplah untuk menaikkan semula mood berblog selepas ni.
*** jangan harap dapat BE la kalau macam ni cara saya berblog sekarang ni.


Terima kasih sekali lagi untuk sahabat maya saya...saya akui rindukan sahabat semua...hu hu


Semoga cepat-cepat la komputer ni dibetulkan oleh ketua rumah saya ni...

Perhimpunan Seks Bebas

Nampaknya dapat update blog guna handphone cap ayam yang kadang-kadang bagus sangat..terimakasih Sony Ericsson ku itu! Tapi kadang-kadang sampai berpeluh pun tak dapat, lepas tu telan kredit macam telan kacang je.

Ok, cuma nak cakap tadi ada dengar pendapat seorang tokoh agama di dalam Buletin Utama yang menyatakan:
"menyokong sebarang bentuk hubungan sejenis boleh membawa kepada murtad"

Harap-harap tak ada sesiapa pun orang Islam yang menyokong perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam .

Sekian.

Live dari Cyber Cafe

Malam tadi sampai rumah sekitar 7.45 malam...jalan jem sepanjang Tampin -KL.


Hari ni bercuti sebab sekolah cuti , seperti biasa, cuti tahunan mama menjadi korban..tinggal lagi 2 hari baki cuti tahunan...kata si abah, kenapa cuti tahunan dia masih banyak lagi?  Hmmm malas la nak tolong fikir....


Macam mana pula dengan kawan-kawan, kalau anak sakit demam atau apa-apa masalah di rumah, siapa yang lebih dulu memberi kesanggupan untuk bercuti?


Pagi tadi bangun tidur lewat, lepas Solat Subuh sambung tidur, bukan selalu dapat peluang macam ni...kain baju kotor jangan cerita la banyaknya...kain baju yang dah kering yang belum berlipat pun usah diceritakan.


Tiba-tiba si suami minta hantarkan beliau ke pejabat...motor tak boleh start...kami anak beranak macam lipas kudung bersiap dalam masa kurang 15 minit.


Sempatlah bersarapan kat pejabat, si suami terus masuk tempat kerja, saya dan anak-anak ke foodcourt.
Adik saya yang bekerja setempat dengan saya dan suami turun sarapan sekali, sejak dia dah kawin ni, jarang-jarang anak-anak saya bertemu muka dengan 'Ayah Cik' mereka ni.


Balik dari pejabat terus kelam kabut masuk pakaian kotor dalam mesin....kelam kabut sebab plan nak ke Casa Mila Kondominium, nak terjah kolam renang kat situ...dah lama berjanji dengan kawan baik nak bawak anak-anak mandi kolam kat tempat tinggal dia, hari ni baru berkesempatan.


Petang ni pula ada temujanji dengan doktor gigi pukul 5 petang...hmm rasa macam tak cukup nafas je..belum kira dengan telatah 2 beradik yang mengalahkan kucing dan anjing tu...Sabar jelah, kalau cuti memang mencabar tahap kesabaran yang memang tak cukup tinggi ni.


Ni nak ke rumah kawan untuk mandi kolam, ternampak cyber cafe..terus stop....rm4 sejam tu...demi mu blog, ku sanggup kan aja.


Semoga kawan-kawan sihat selalu ....gembira selalu...saya tak dapat nak blogwalking, senang cerita untuk tahun ni memang tak ada blogwalking gamaknya.

Novel Syurga Diwajahmu

Saya suka dan saya tak suka cerita novel ni.


Ok, saya ok sebenarnya , apa yang saya suka adalah:


1. Banyak babak gatal merenyam antara suami isteri terutama dalam bilik tidur..** ambooiii gatal noo.


2. Watak heronya fuhh sungguh cool , sabar, romantis, baik dan bla bla semuanya indah belaka


3. Saya suka suasana persekitaran yang digambarkan, seperti di jeram..rasa damai je.


4. Saya suka hubungan kekeluargaan 


5. Saya suka bab-bab agama ditekankan dan secara tak langsung ada pengajaran dan peringatan kepada yang membaca novel ini.


6. Saya rasa pengajaran yang nak disampaikan di dalam novel ini adalah jangan keras hati macam Idayu** walaupun saya pun selalu dicop keras hati he he, tak mau menuduh melulu tanpa usul periksa terutamanya pada suami kita, kalau cinta ucapkanlah cinta agar pasangan anda tau anda cintakan dia..kedudukan suami adalah tinggi, taat dan hormatila dia.


7. Saya suka novel ni kerana jalan ceritanya mudah dan ringkas, tak perlu nak pening-pening fikir.


Satu je yang saya tak suka dengan novel ni.....hmm saya tak suka la kalau ada 2 hero, sorang tu bahagia, sorang tu merana...memang saya tak berkenan betul dengan situasi begini, kalau boleh biar la semua happy je.


Nak tau kisah ni, boleh beli novel ni di mana-mana kedai buku...nak beli dengan saya pun boleh, diskaun 30%.




BERCUTI TANPA RELA!

Terimakasih sudi berkunjung dan sentiasa berkunjung ke sini.


Tuan rumah terpaksa bercuti sementara waktu tanpa kerelaan.


Tak ada ke yang sudi dermakan saya laptop atau smartphone kepada anak yatim yang dah tua ni? isk sik sedih huu hu....


***Saya nak ucapkan selamat menyambut AidilAdha , mana yang balik kampung tu berhati-hati memandu.( ucap awal-awal sementara berpeluang online)

PANIK! TIba-tiba Account Disable

Fuhh kusss semangat kejap tadi kerana tiba-tiba je ketika sedang online, keluar mesej Account Disable. Tak dapat log in ke account Google. 


Blog pun hilang,mengagau dan menggigil seluruh badan *** biasalah orang gelabah macam saya ni.


Mau tak menggigil, blog Jendela Hidup ni tersangatlah besar ertinya pada saya , banyak masa yang telah diuntukkan semata-mata kerana blog ini walaupun belum mendapat apa-apa dalam bentuk kewangan.


Kawan yang dah nak terlena nampaknya menjadi mangsa, sebenarnya tak tau nak kacau sapa time-time macam ni, suami belum tidur tapi dia tak berminat nak menolong kerana saya ni sepatutnya tak menggunakan pc yang nyawa-nyawa ikan, jadi bila ada risiko begini terpaksa la tanggung sendiri. PC ni memang ada problem dan saya pandai-pandai install Google Chrome ketika PC nazak begini. 


Memang betul-betul terasa kepala ni macam dihempap batu sekejap tadi , kawan yang hampir terlena tu try serach blog ini, katanya masih ada.


Dalam menggelabah tu , saya sempat la hantar report pada Encik Google, lepas tu terima reply meminta saya reset password dan selepas masukkan password baru, alhamdulillah blog ini kembali 'dipulangkan'.


Lega sangat-sangat, batu yang menghempap kepala dah pun dialihkan.


Kawan yang nak lena tadi tu, dah pun dibenarkan lena semula.


Terima kasih PUANZAI sebab sudi jawab call dari saya di tengah malam buta ni.


Siap plan nak ambil cuti kecemasan esok kalau blog ini gagal ditemui...isk isk sedih sangat tadi.


** suami saya rileks je dengar lagu dari laptop, katanya dia tau saya boleh settlekan masalah ni..nasib baik memang boleh settlekan dan cuba jangan online dulu ketika pc ada problem ni, boleh dengar cakap suami tak? he he



** ada tak sesapa yang pernah hadapi situasi macam saya ni?