Corat Coret April

Assalamualaikum

Dah tidur ye?

Kak Aya macam biasa .time macam ni baru dapat peluang tekan keyboard.

Tajuk selalunya ke laut. Takpe .. Kak Aya memang begitu.

Harap faham Kak Aya ):

Semalam ada tazkirah Zohor yang disampaikan oleh Imam Muda Fakhrul.

Sangat berkesan di hati.

Tajuk "Bersediakah kita".

Bersediakah kita untuk menemui Allah, Sang Pencipta.

Apakah bekalan yang perlu dibawa.

Apakah persiapan.

Kita sendiri pakat fikir tentang persiapannya. 


Insaf.

Alhamdulillah di surau ofis Kak Aya tu memang setiap hari ada tazkirah Zohor 

yang disampaikan oleh Ustaz-Ustaz hebat, bersilih ganti.

Ingatan untuk Kak Aya, jangan duduk dengar je tapi tang amalan, kekal bertangguh. 


Macam Ustaz Fakhrul cakap la, kita selalu fikir orang lain je yang mati, 
diri sendiri selalu terlupa pulak memang akan mati jugak.

Semua ralit sibuk dengan urusan dunia. Hari-hari kejar dateline ofis.
Dateline mati? Apa preparationnya? Jangan suka tangguhkan taubat.

Menusuk hati.

******************************************************************************************

Kak Aya akan bergerak balik ke KT esok, Insyaallah.

Gerak petang sebaik saja Ucu selesai buat dialysis.

Sebenarnya mak baru je tau kita orang nak balik kampung.

Saja malas nak riuh-riuh dulu takut tak jadi nanti mak frust pulak.

Dah lama betul kak aya tak balik kampung, tahun ni belum jejak kaki lagi.

Baik ke macam tu? Kecewa.

Selalu Kak Aya terfikir, kalau Kak Aya tukarkan situasi sekarang - 

Kak Aya yang menunggu 5 bulan untuk tengok wajah anak-anak.. 
5 bulan bukan 5 hari...

Sebak.

Tak boleh bayangkan macam mana rindunya.

Tapi Kak Aya sebagai anak? Macam tega je biarkan mak menunggu di kampung selama 5 bulan.

Ampunkan anakmu , mak.

Pasti ada je alasan untuk setiap perkara.

Malas nak layan alasan tu.

Sebab sebagai seorang mak, tak ada alasan untuk anak tidak menjenguk mak.

Nadhirah, Umar dan Zahra - jangan buat mama sama macam mama buat nenek.

Mesti jenguk mama selalu.

(Pentingkan diri sendiri je bagi nasihat macam tu..sedangkan diri sendiri tak tunjuk

contoh yang baik kepada anak-anak)

Ntah la..

Memang terasa sedih sangat.

kesibukan kerja , anak tuition , tak ada cuti..bla bla bla bla.

mak sendirian di kampung..sangat sedih saat ni.

Ya Allah...Ampuni la hamba Mu ini. 



****************************************************************************************

Tak lama lagi, 19/5/2015, kalau ikut jadual dan perancangan yang 

ditetapkan oleh pihak hospital, Ucu akan menjalani pembedahan untuk
pemasangan tapak@fistular pada lengan kiri untuk tujuan dialysis.

Ucu memang berdebar, takut, risau, semua rasa ada.

Memang kalau boleh tak nak buat, katanya.

Tapi kalau itu yang terbaik, dia redha .

Berat badan Ucu naik sikit minggu ni, Alhamdulillah.

Kalau sebelum ni memang tiap kali buat dialysis berat akan turun.

Pakaian semua kena beli baru.

Kalau pakai seluar panjang, baru je angkat ke pinggang zrruuuutttt melorot hingga ke kaki.

Kurus sangat. Sekeping.

Ucu selalu cakap, nikmat sihat dah diambil semula olehNYA.

Jadi kita yang sihat, wajib mensyukuriNYA.

Insaf lagi.

******************************************************************************************

Pernah tak rasa seperti berserabut walhalnya tak ada apa-apa masalah pun.

Pernah tak rasa sunyi walhalnya riuh rendah sekeliling.

Pernah tak rasa kosong sedangkan macam-macam perkara menunggu untuk diurusi.

Pernah tak rasa macam nak jerit tapi tak tau nak jerit apa.

Kak Aya ada waktunya melalui saat begini...dulu..dulu masa usia nak menginjak 35,36 tahun..kerap rasa begini. ..sekarang pun kadang-kadang ada terasa tapi cepat-cepat kita mengingati Allah.

HATI..ada masalah.

HATI...ada calar.

HATI...ada sakit.

HATI...ada keras.

Sejak tu, Kak Aya sering mencari jalan untuk ubati hati.

Sampai hari ni, hati masih menjalani proses pembersihan.

Namun ada muncul tenang berbanding dulu.

Kak Aya percaya proses kematangan sedang berlaku.

Kita sedang mencari arah tujuan kehidupan yang sebenar.

Kita mula faham tujuan kehidupan.

Insaf dan kerdil sangat.

******************************************************************************************
SEKIAN .TERIMA KASIH. 

Manisnya cinta siri honeymoon

Assalamualaikum

Tadi ada kawan kat ofis ni yang baru kahwin apply cuti untuk pergi honeymoon.. kahwinnya 2 minggu lepas, sekarang baru dapat cuti untuk honeymoon.

Bercahaya muka orang nak pergi honeymoon.

Nama pun bulan dan madu..menggambarkan sesuatu yang indah.

Tapi bermadu tak best kot..Ehh.

Kak Aya dulu tak ada pergi mana-mana pun...suami tak dapat cuti lama..ingat lagi bos datang kenduri kami , dia mintak maaf tak dapat bagi cuti lama , tapi dah settle kerja boleh apply , kita bagi, katanya...sampai sudahnya tak ada pergi ke mana-mana pun..Alhamdulillah dapat 3 orang anak...kalau dapat pergi honeymoon macam orang lain tu tak tau la berapa orang dah anak kami hik hik. Ada kaitan ke?

Tak lama dulu Nadhirah ada tanya :

N: Mama dengan abah dulu pergi honeymoon kat mana?

M: Tak pergi pun

N: Ha?? Boleh ke kahwin tapi tak pergi honeymoon?

M: kenapa pulak tak boleh .

N: (angkat bahu)..ntah..tapi dalam drama tu lepas kahwin je terus pergi honeymoon ke pulau atau ke oversea main salji.

M: rasanya nenek tu pun tak pernah honeymoon jugak, ok je dia.

N: mamaaa niiii....nenek tu orang dulu-dulu..mana ada honeymoon time tu.

Tak tau la apa pengertian honeymoon kepada dia..

Kak Aya rasa lagi penting kalau pergi honeymoon selepas beberapa lama usia perkahwinan kita, macam sekarang ni dah masuk 13 tahun ni.

Tambah-tambah sekarang ni banyak gangguan yang muncul..terutama gajet. 

Eh suami orang lain sukakan games COC tak?

Games COC tu adalah sangat penting nampaknya ...kalau boleh tak nak berenggang walaupun seminit pun.

Kak Aya ni memang manusia yang memang tak tau hal-hal games ni..tak reti.

Pelik tengok suami ralit mengadap benda alah tu..jadi kak aya tanya la anak-anak, abah main game apa tu.

Budak berdua ni pulak yang terkejut..mama tak tau games COC? tak tau ? memang tak tau ke?

Ishh macam penting sangat pulak cara tanyanya.

macam boleh kenyangkan perut je betapa bersungguhnya mengadap benda tu.

Rasanya kalau cadangkan pergi honeymoon ke tempat yang best-best pun belum tentu dia terima sebab COC lagi best kot.

Ini la hobi suami kak aya yang sebelum kahwin memang kak aya tak pernah tau...main games.

Masa baru-baru kahwin, ralit dengan Chess.

Lepas tu leka dengan Word Cup.

Lepas tu F1

Terkini COC.

Kata seorang sahabat Kak Aya, bagus la sekurangnya 24 jam ada depan mata, ada apa-apa boleh jerit je panggil, macam suami dia tu, 24 jam lepak kat kedai mamak.
Gas habis kat dapur terpaksa dia sendiri yang angkat tong gas.

Eh tadi nak cerita mengenai honeymoon sebenarnya..tapi dah tak pernah pergi honeymoon, dah tak tau nak tulis apa...membebel je la.

Cuma pada Kak Aya kita perlu ada masa untuk kita suami isteri pergi bercuti sehari dua untuk suburkan kembali kasih sayang cinta segala bagai tu..kalau tidak , jadi la macam pokok kurang air kurang cahaya matahari kurang oksigen semua tu.

Kadang-kadang dapat naik motor ke masjid berdua pun dah rasa happy dan cinta kembali membara, rasa bahagia..betul tak?



Manisnya Cinta

Assalamualaikum,

Hampir melewati jam 12 tengah malam baru ada masa nak menaip entry..macam tu la kalau ada anak kecik dan hati masih nak berblog, kena berkorban menongkat mata dengan batang mancis ):

Tajuk bukan main tak agak-agak..isinya belum tentu..rasanya kelaut je ni.

Kak Aya sebenarnya tak ada pengalaman banyak tentang cinta. Tak pernah bercinta sampai la jumpa suami Kak Aya ni, itu pun tak lama pun kami kawan, lepas tu ambik keputusan bertunang, 3 bulan kemudian , kahwin.

Ok itu baru mukadimah .

******************************************************************************************************

Seingat Kak Aya, sejak kecik memang arwah ayah selalu pesan - "time belajar adalah untuk belajar, tak payah nak fikir-fikir tentang lelaki... kalau ayah tau ada mengarut-ngarut dengan lelaki, berhenti sekolah , lepas tu dah boleh kahwin kalau sesiapa datang melamar".

Itu memang satu amaran yang memang terpahat kemas dalam hati , pesanan berupa ugutan yang dilontarkan oleh arwah ayah tatkala Kak Aya dapat tawaran memasuki sekolah berasrama , pada tahun 1986.

Pesanan arwah tok pulak jangan tanya la, sepanjang-panjang list.

Dan sebagai anak dan cucu yang akur pada nasihat keluarga, memang tak ada seorang kawan lelaki pun yang Kak Aya ada hatta kawan-kawan biasa...setakat kawan ketika di dalam kelas je..memang kawan-kawan rapat Kak Aya semua perempuan, memang tak reti nak berkawan dengan lelaki..kalau orang lain sibuk ber "abang angkat" Kak Aya langsung tak ambik kisah ..

Bosan kan life Kak Aya? Tapi Kak Aya rasa biasa je.

Macam tu la sampai tamat SPM, tak ada kawan lelaki.

Memang jenis perempuan yang akan kahwin dengan lelaki pilihan keluarga la kak Aya ni.

******************************************************************************************************

Kak Aya memang pemalu orangnya, pemalu mungkin sebab kak Aya punya ruang lingkup kehidupan adalah kecil. 

Dunia Kak aya ketika masih bersekolah, hanyalah bersama adik-adik, kalau keluar jumpa kawan pun bukan ke mana sangat pun, ke rumah sebelah je..rumah sahabat baik Kak Aya,adik-adik sentiasa mengekor je.

Ada la keluar jauh sikit dari rumah, dalam 500 meter jaraknya...itu pun macam dah jauh sangat.

Dulu arwah ayah selalu bagi "hint" dalam nada bergurau - nak jodohkan Kak Aya dengan anak kawan baik dia.. sahabat arwah ayah ni duduk di kampung sebelah.

Masa tu rasa cuak jugak sebab biasanya kalau ayah cakap macam tu membawa maksud sukar untuk kita cakap TIDAK...akal singkat Kak Aya masa tu memang rasa takut nak fikir, padahal umur baru setahun jagung, sekolah darjah 3 atau 4 macam tu.

Kalau keluarga sahabat ayah tu datang rumah, kak Aya mula la malu-malu kucing, padahal time tu masa nasi pun tak reti langsung..dah pandai nak malu-malu ...anak lelaki kawan ayah tu dah naik tingkatan 1. Mula la buat-buat malu tapi mahu,intai-intai dari lubang kecik pada dinding dapur..ishhh tak senonoh...

Ada beberapa perkara yang masih dalam ingatan Kak Aya , ada satu pagi tu kami bertembung di jalanan, dia berbasikal untuk ke sekolah menengah dan Kak Aya berbasikal untuk ke sekolah rendah, berlawanan arah.

Alahai berdebar gila bila nampak dia dari jauh...makin mendekat makin rasa tak mampu nak kayuh basikal dek kerana terlalu berdebar...merenyam betul.

Bila bertembung, malu-malu melemparkan pandangan....tak tau la mamat tu berdebar tak, ..jangan-jangan Kak Aya je yang malu sendiri hi hi.

Lepas ayah dah meninggal hubungan persahabatan tu kekal., sahabat ayah tu seorang nelayan laut dalam...hasil tangkapan memang banyak. secara tak langsung keluarga Kak Aya pun dapatlah merasa ikan segar secara percuma.

Asal lepas maghrib je mesti samada ayah dia ( kawan arwah ayah ) atau si"dia" tu yang datang menghantar hasil tangkapan  kepada "bakal keluarga mertua" cewahh perasan ..time tu la perasannya..sekarang semua dah renta.

Kalau ayah dia yang datang, kak Aya melenggang ke motor dan ambik satu plastik besar ikan-ikan segar. Kalau "dia" yang datang, Kak Aya hanya mampu mengintai dari jauh...intai tetap intai hi hi.

******************************************************************************************************
Masih basah dalam ingatan, ketika Kak Aya dah mula bekerja di KL, ketika pulang bercuti di kampung, ayah si 'dia' tu datang rumah....

Masa tu, ayah dia duduk atas  tangga rumah dan kak aya pun tak jauh dari dia...keluarga Kak Aya masa tu tak ada kat rumah kot ketika ayah dia mula-mula sampai.

ayah dia cakap - "pok teh nok tanya jelas-jelas, mek memang nok kerja di KL ke atau ada hasrat nak cari kerja di Teranung"

Pertanyaan yang bakal membawa kepada perubahan hidup atau jawapan yang akan merubah segala angan-angan kedua ibubapa sejak bertahun lamanya....Kak Aya terfikir sejenak...ketika itu usia Kak Aya 23 tahun.. Kak Aya rasa dalam usia tu masih terlalu muda untuk fikirkan tentang sebuah perkahwinan memandangkan kehidupan Kak Aya dan adik-adik yang tidak ada ketua keluarga..Kak Aya adalah ketua keluarga bersama -sama dengan mak, tok ayah dan tok.

Dengan menarik nafas dalam, kak aya memberi jawapan -" kita nak kerja di KL kerana kerja sekarang ni rasanya dah elok dan tak nak cari kerja lain lagi dah"

"Pok Teh tanya sungguh-sungguh ni ...pok teh dok tanya doh lain kali". tanya lagi dengan lebih tegas .

"Ya..,kita nak kerja di KL"...tegas jugak jawapan yang dilontarkan kepada pertanyaan kedua tu.

******************************************************************************************************

Tak lama lepas tu kami terima jemputan kahwin daripada keluarga si "dia". Kak Aya tak pergi pun kenduri tu sebab memang Kak Aya tak pernah pergi rumah dia..dulu arwah ayah ada cakap, nanti pergi sana sebagai menantu..besar harapan arwah ayah tapi jodoh bukan di tangan kita.

Mak cakap ' lawa la bini dia, macam rupa Fauziah Latiff". Dalam hati Kak Aya terfikir mereka ni dah lama bercinta agaknya , bagus jugak jawapan Kak Aya nak kerja terus di KL, tak ada la jadi penghalang kepada percintaan dua hati tu.

Dan Kak Aya masih ingat, keluarga Kak Aya agak terkilan kenapa keluarga si dia tak pernah datang merisik Kak Aya sedangkan usik-usik nak buat menantu sejak Kak Aya masih sekolah rendah berlarutan hingga lah kak aya kerja di Kuala Terengganu, selepas Kak Aya kerja di KL baru la tiada lagi sebarang usikan sebegitu.

Rahsia perbualan ditangga rumah dengan Pok Teh itu saya tutup dengan rapi sehinggalah beberapa tahun lepas tu, Kak Aya pun dah nak kahwin, baru Kak Aya cerita.

Kak Aya mula menjejak kaki ke rumah dia ketika pergi untuk menjemput keluarga dia untuk kenduri kahwin Kak Aya...

Mak dia (arwah) memeluk mesra Kak Aya, dia bisik - "mek dah macam anak mak, sampai bila-bila"..sayu dihati saat itu.

hmm tak tau la apa maksudnya, mungkin Kak Aya macam anak sendiri, yang rupa macam Fauziah Latiff tu sekadar menantu je kot hi hi..jahat Kak Aya.

Sebelah rumah mak dia tu, tersergam banglo setingkat si anak . Hmmm anak mata membesar tengok banglo orang.

******************************************************************************************************
Lepas je si  "dia" tu kahwin, rasa cuak kena kahwin dengan pilihan keluarga tetap ada..ntah la kenapa yang takut sangat kena kahwin dengan pilihan keluarga..macam-macam fikir..memang kalau mak call bagitau ada "orang tanya", terus bagi jawapan tak nak dulu buat masa ni..

Memang arwah tok membebel bebel ..tapi sebab dia bebel di dalam corong telefon je , tak ada la ambik kisah sangat, kalau balik bercuti, dia sentuh je isu kahwin memang buat kering je...

Orang kampung suka sangat tau yang kepohci tanya-tanya pada mak, bila lagilaaa Mek Aya tu....tak ada orang lagi keee.....itu yg mak pun mula la berkeluh kesah...jodoh itu memang bukan di tangan kita, kalau stress sangat pun bukan lagi bagus lagi memudaratkan kesihatan je.

Kak Aya sempat belajar separuh masa di UM sebelum kahwin..tak la peringkat tinggi mana sekadar lepaskan hajat nak masuk belajar dalam Universiti, ambik peringkat Sijil dan Diploma je..tapi Diploma je separuh jalan sebab tak cukup duit EPF nak cover keseluruhan kos..tak apalah tak ada rezeki.


******************************************************************************************************

Ok kita cerita pasal perkenalan dengan suami sikit.

Dia jauh lebih muda dari kak aya tau..nanti kak aya tunjuk gambar kami di hari kahwin. ***kalau ingat.
Kenal dia masa dia datang buat praktikal di jabatan kami..Kak Aya ni orang bawahan je dalam jabatan, apa-apa dokumen memang Kak Aya yang akan buat salinan untuk simpanan, memang tengok la butir-butir tentang dia.

Masa dia masuk hari pertama, tak ada pun terfikir nak kawan dengan "budak ni".

Sepanjang tempoh praktikal, dia ni adalah sangat kelako...kalau ada dia, memang tak kering gusi la kami semuanya.

Masa tu kami selalu berborak menggunakan application WinPop melalui komputer. Nampak macam ralit buat kerja padahal sesi berkenalan.

Aaaa dari situ la mula wujud gelombang halus dalam perut.

Semuanya dalam diam, yang tau hanya kami..kawan-kawan tak tau pun.

Dating pun tak ada sangat, ada la lepak kat kedai Pak Tam, dulu gerai je sekarang Pak Tam dah ada Restoran Tuuu Diaa Pak Tam..kak aya jalan kaki dari rumah sewa ke gerai Pak Tam , dia pulak datang dengan motor kapcai dia.

Pernah 2 kali kot tengok wayang. Filem Soal Hati dan satu lagi ntah apa tajuknya...dia tak minat tengok wayang, jadi cukup 2 filem tu je ...lepas dah beranak pinak ni ada la 2 kali jugak kot tengok wayang sebab anak-anak nak tengok.

Tak banyak sangat kenangan yang nak dicoretkan sepanjang persahabatan sebelum kahwin ( eh macam segan nak tulis percintaan, ntah kenapa hi hi).

Kak Aya masih macam di kampung walaupun tinggal di KL, mungkin tinggal bersama Ucu, bukan menyewa dengan kawan-kawan, jadi perangai tu sama je, asal hari cuti je lepak depan TV . Kami menyewa bilik di Jalan Perhentian sehingga April 1998. Kami mula pindah menyewa di Selayang Baru, rumah lot..best gila perasaan sebab lama duduk bilik sempit, dapat menyewa rumah ada 2 bilik, ada ruang tamu, dapur dan tanah kat belakang rumah, rasa macam baru dapat hadiah sebiji banglo.

Sewa rumah ni rm450 sebulan, boleh la dianggap mahal pada ketika itu. Kami tetap cuba mencari-cari rumah lain yang lebih selesa dan murah.

May 2000 pindah ke rumah sewa yang lain, masih di Selayang Baru...rumah ni memang lagi best, tepi jalan utama, ruang tamu luas boleh muat 2 keluarga dari kampung, ada 2 bilik, 2 bilik air dan dapur yang luas, dapat rumah ni terus ikrar tak nak cari rumah lain lagi dah.

******************************************************************************************************
Kak Aya bertunang pada 24 May 2002 dan kahwin pada 9/9/2002.
Suami kak aya ada seorang kakak dan suami kak aya tu anak bongsu, 2 beradik je...kak aya ada 6 orang adik beradik..

Banyak benda yang kontra antara 2 keluarga.
Dah 13 tahun kahwin ni, ada lagi beberapa perkara yang kadang-kadang kita rasa macam belum faham samada antara kita suami isteri, antara kita dengan keluarga dia, dia dengan keluarga kita...rasanya itu perkara biasa, satu yang jelas mengenai suami kak aya ni , dia adalah banyak diam bila di dalam keluarga.

Kalau keluarga sebelah suami ada kenduri kendara, suami kak aya ni tak ada la macam kat ofis yang suka gila buat lawak ..dia lebih banyak mendengar dan tersenyum kalau perlu..tak ada la tersengih sepanjang masa, nanti apa pulak orang cakap hihi.

Macam kak aya pulak, memang jenis diam je kalau di dalam kalangan orang yang kita tak begitu biasa tetapi di dalam keluarga, kak aya riuh dan suka je buat lawak...nampak kan kita berdua memang terbalik..mungkin itu la perencah yang menyebabkan kami kekal bahagia hingga ke tahun 13. Alhamdulillah.

Tak boleh nak cerita panjang buat masa ni, sebab dah panjang dengan kisah lain dah kat atas tu..nanti kita gali-gali lagi ingatan dan share kat sini.

Malam kian larut dah ni...mata pun kian memberat..baik la off pc dulu ye.

p/s: Kak Aya banyak terhutang blogwalking ..Insyaallah, sekarang sedang cuba urus waktu, baru dapat uruskan tang publish entry , lepas ni kita cuba manage untuk blogwalking pulak ye.


 


Sembang Mak Alang Lagi

Assalamualaikum,

Tak tau nak letak tajuk apa sebab apa yang nak dicatatkan ni secara random je, apa yang terlintas di dalam fikiran je. Banyak benda nak share di sini, selalu Kak Aya terfikir untuk share di sini kerana inginkan semua ini menjadi tatapan anak cucu esok-esok cuma batasan masa yang menjadikan keinginan tu terbantut macam ketinggian tuan blog ini.

Mula-mula yang terlintas di dalam fikiran ni nak bercerita tentang kesihatan Ucu...kesihatannya agak merosot berbanding sebelum ni. Hairan jugak melihat fizikal dia yang menjadi kurus cengkung secepat itu. 

Luluh hati tengok seolah-olah seperti sekeping papan nipis je badan dia . Apa pun situasi, doa adalah senjata paling ampuh untuk kami semua..

Sabtu lepas Ucu nak ke dapur tiba-tiba je seperti satu tolakan dia jatuh terjelepuk....dia sendiri macam blur blur kenapa pulak terjatuh..tak pening tak berpusing...kesannya lebam pada bontot yang tak berisi tu..

Doa agar Ucu kembali sembuh seperti sediakala. Zahra sentiasa bersama dia hampir setiap hari. Pada hari dialisis, Cu hanya menjaga Zahra separuh hari..Zahra dah pandai main sendiri sekarang ni, ye la orang dah nak masuk 2 tahun...dah pandai bercakap sorang-sorang, menyanyi, menari , mengaji ..semuanya dalam bahasa dia sendiri, kita tak faham apa satu. Zahra adalah kekuatan untuk Ucu terus mengukir senyuman.

Ucu ni tak ubah ibu kepada Kak Aya dan adik beradik Kak Aya..sementelah Ucu dan Mak Kak Aya 2 beradik je yang masih ada sebelah keluarga Kak Aya selain adik-adik dan sepupu, Kak Aya tinggal bersama berdua dengan Ucu bertahun-tahun sebelum Kak Aya berkahwin pada tahun 2002...susah senang banyak dikongsi bersama..sudah pasti terasa sedikit sedih bila tengok dia diuji begini namun Kak Aya yakin dengan janji Allah, setiap ujian itu memang diberikan kepada setiap insan yang terpilih untuk melaluinya sesuai dengan kemampuannya.

Mak kak Aya di kampung memang risaukan kesihatan Ucu, memang kami tak begitu telus dalam melaporkan tahap kesihatan Ucu kepada mak...tak nak dia risau lebih-lebih sebab mak pun memang tak begitu sihat. Hari-hari kena update tahap kesihatan Ucu kepada mak....adakala suara mak macam lemah je, Kak Aya faham perasaan mak.

ok tutup la kisah-kisah sayu pilu ni..

******************************************************************************************************

Kita sembang-sembang perihal anak-anak la pulak.

Nadhirah , anak dara Kak Aya tu aktif betul sejak masuk Tahun 6 ni..peliknya kenapa bila Tahun 6 mesti aktif dengan macam-macam kegiatan sedangkan tahun ni UPSR..bukan tak bagi aktif dengan kegiatan ko kurikulum tapi Kak Aya rasa macam terlebih aktif hinggakan bila balik rumah je mula la nak berbungkus awal-awal...kalau asyik tidur je, macam mana dengan pelajaran? 

Kak Aya cakap sikit mula la nak sentap, ini yang paling tak tahan....sebagai ibu, memang kita ni 24 jam asyik fikir macam-macam, daripada hal kecik sampai la hal yang patutnya PM fikirkan pun kita rajin-rajin nak fikirkan.

Memang bagus kalau aktif dengan kegiatan luar darjah, dapat memberi kredit tambahan untuk memohon ke sekolah berasrama penuh nanti tetapi kalau kita sendiri tak mampu nak seimbangkan antara pelajaran dengan kegiatan luar, benda tu akan jadi masalah...

Kang kalau Kak Aya cakap macam ni, dia cakap " mama mula la tu, nak membebel, akak boleh balancekan , jangan risau, mama dah banyak stress tang lain, jangan stress tang "ko ko" akak ni"...apa pun Kak Aya memang menaruh harapan yang agak tinggi, biasalah anak pertama memang jadi  taruhan harapan ibubapa...sama macam situasi kak aya dulu...masa kak aya sekolah dulu , mak tak ada nak tekankan sangat hal pelajaran ni, mak sibuk dengan adik-adik yang masih kecik, time tu pandai-pandai kita la nak belajar macam mana janji jangan dapat merah dalam report card.

Itu kisah anak pertama...anak kedua ni pun tak kurang jugak kisahnya....Umar ni join taekwando bermula awal Jan baru ni..dia memang bersemangat, sangat-sangat bersemangat untuk ke kelas taekwando tu, waktu untuk taekwando tu setiap jam 5.15 -6.45 hari Sabtu...belum Zohor lagi dia dah semangat nak tukar baju...semangat tak semangat tu?

Belum lagi kira yang berlatih tanpa kira masa...habis pokok belakang rumah jadi mangsa...Tapi kalau bab belajar, memang akan cari alasan sikit..maksud Kak Aya kalau kita suruh dia ulangkaji kat rumah, haaa memang dia akan cuba cari alasan dan akhirnya dia akan tidur..senang je untuk lepaskan diri..selalunya alasan letih la....

Umar ni kalau hari cuti, dia memang akan jadi org pertama yang bangun tidur tak kira la time tu ayam pun belum berkokok, macam mata tu tak boleh dipaksa untuk pejam lagi dah...dia akan cari jalan untuk bagi orang lain bangun jugak..tapi kalau hari sekolah, dia adalah orang paling last bangun..dan selalunya mood dia memang ke laut pada setiap hari sekolah...beberapa hari ni nampaknya mood dia ok setiap pagi, tak nak mandi air suam macam biasa, tak perlu diingatkan untuk gosok gigi..Alhamdulillah ada perubahan seiring dengan penambahan usia setiap hari.

Kalau hari rajin, Umar akan mengaji setiap kali lepas solat maghrib, tak perlu suruh-suruh..sejuk hati seorang ibu..tapi kalau dah datang hari malas, jangankan nak mengaji, pandang Al Quran pun tidak..berhari-hari tak disentuhnya...

Umar punya peel, dia tak boleh kalau kakak lebih daripada dia dalam apa jua situasi ...tau tak, kalau kakak period, tak solat la kan, dia pun turut sama cuti solat..alasan dia - keluar air mani ha ha ha...dia cakap ada belajar di sekolah agama, kalau perempuan datang haid tak boleh solat, lelaki pulak keluar air mani tak boleh solat..ehh ni bukan cerita lucah ye.

Umar rajin cuci kasut sekolah , tapi bergantung pada mood jugak la...biasalah budak-budak, mana boleh paksa-paksa, biar dia buat dengan kerelaan hati...Alhamdulillah mulai tahun ni anak-anak dah mula cuci kasut sekolah sendiri secara konsisten...ringan sikit beban mama.

Ni mengenai Zahra pulak...haa ni anak ke 3...memang agak berbeza sikit perangai berbanding abang dan kakak...dia ni memang jenis tegas, tak suka dipaksa-paksa, tau kehendak sendiri..kalau lepas mandi, dia sendiri yang akan pilih pakaian yang dia nak pakai untuk hari tu..pilihan kita ni selalu tak kena ..gemar melukis tapi pada pandangan mata kita adalah menconteng...segenap tempat la menjadi mangsa contengan dia...bukan tak bagi buku, dia ada buku sendiri tapi tempat-tempat lain pun menjadi tempat contengan dia jugak...dinding kat rumah ni  memang bertukar menjadi wallpaper abstract..kadang-kadang nampak buruknya dinding rumah aku ni ..tapi ada waktunya rasa bahagia melihat keseronokan Zahra expresskan idea dia pada dinding..

*****************************************************************************************************

Kak Aya lama sangat tak balik kampung jenguk mak...rindu hati pada ibu ....walaupun kuat membebel masa kami kecik dulu, bebelannya tu jugak yang sering kami rindukan.

Insyaallah cuti 1 Mei nanti nak balik kampung...seronok balik Terengganu, kampung halaman tercinta..dapat makan best-best terutama keropok lekor yang sangat diidamkan ..

Mak Kak Aya tak begitu sihat, jadi susah la untuk dia datang ke KL kalau tak ada sesiapa yang bawak dia ...sebab tak begitu kuat untuk duduk dalam bas ekspress hampir 6-7 jam lamanya..itu la sebabnya dia mesti diberitahu perkembangan kesihatan Ucu sekerap yang mungkin setiap hari.

Ikatan kekeluargaan kami agak kuat dan erat, mungkin sebab keluarga kami kecil je.

Hmmm memang betul-betul sembang mak alang ni...jam pun dah 12 tengah malam ni.

Stop dulu la..

maaf sebab entry tanpa gambar adalah membosankan tapi itu la kak aya ni....ntah bila nak banyakkan gambar dalam entry.

Insyaallah.

Sembang kerjaya

Assalamualaikum

Tak ada apa yang menarik sangat-sangat kot nak diceritakan tentang kerjaya Kak Aya ni.... Tapi pada diri Kak Aya ianya penuh dengan pengalaman dan kenangan terutamanya pada awal-awal kedatangan Kak Aya di Kuala Lumpur ini.

Ok sebelum tu kita kisahkan dulu kerjaya masa di Terengganu , masa sebelum jejak kaki ke Kota Batu ni.

Lepas tamat sekolah menengah, dapat Uitm tapi tak pergi ..rugikan? tak apalah, takdir untuk Kak Aya hanya belajar di Universiti Kehidupan je...sebuah universiti untuk macam-macam jurusan tanpa perlu ada kelulusan akademik.

Kak Aya duduk je di rumah, jadi tukang masak, tukang cuci, tukang ngantor adik ke sekolah, naik basikal jemput hantar mereka naik basikal je...hmm dara pingitan time tu..

Dalam masa yang sama, Kak Aya memohon banyak pekerjaan terutamanya melalui SPA tapi satu pun tak berjaya.

Sebenarnya Kak Aya tidak memilih kerja , kerja kilang ok, kerja sebagai pembantu rumah pun ok tapi yang tak ok nya adalah keluarga, mereka tidak membenarkan. Walaupun susah tanpa ayah, kami masih lagi kekal hidup bahagia cukup makan minum cuma tidak dapatlah nak lebih-lebih, tambahan pulak Tok Ayah hanya seorang petani biasa je....hasil tulang 4 kerat Tok Ayah dapatlah kami hidup tanpa meminta minta.

Apa kerja yang boleh dilakukan ketika itu adalah menolong menjaga anak jiran.dah besar dah budak tu, nama Saddam, dulu masa baya-baya Zahra dia asyik mengekor Kak Aya je, sekarang ni dah jadi anak bujang, kita tegur dia malu-malu kucing pulak..

Bila tiba musim durian, Kak Aya ke dusun durian, kutip buah durian,junjung di dalam bakul besar, bawak turun dari atas bukit ( tempat terletaknya dusun durian ) jual kepada peraih..setiap hari sepanjang musim durian, itu la kerja Kak Aya…dasat kan budak lembik ni junjung buah durian..Kak Aya tak la lakukannya berseorangan, adik-adik kak Aya yang masih kecil turut membantu sama..time tu agak menjadi perhatian sikit la sebab satu-satunya anak dara sunti yang memanjat bukit untuk ke dusun durian..kebanyakkannya lelaki-lelaki yang seusia arwah ayah Kak Aya je yang sama-sama memanjat bukit tu....kena panjat bukit dulu sampai atas sana baru la ada dusun durian...luasssss sangat dusunnya...bukan milik keluarga Kak Aya je, milik seluruh orang kampung...sebelah menyebelah.

Time menanam pagi, moh kita ke sawah padi..tapi Kak Aya tak pandai sangat nak buat kerja-kerja ni, Kak Aya tak cukup seni untuk kerja-kerja di sawah pagi..cucuk anak semaian pun main cucuk je..marah arwah tok ayah sebab nampak senget benget je susunan anak semaian..lagi satu tak tahan panas sangat la kat sawah padi terutama ketika musim menuai…dulu separuh bahagian arwah tok dan tok ayah saya menuai sendiri padi tersebut, separuh lagi upah mesin tuaian..time tu nak jimat kos, sebab tu la sebahagian je upah mesin yang buat semua tu.

Kalau nak cerita tentang kehidupan masa tu agak perit la tapi tak ada la sampai berlapar ..makan sentiasa mencukupi.yelah tanam padi sendiri, mesti lah mewah kalau nak makan nasi...kalau tak ada lauk lain, boleh buat nasi goreng...makan nasi campur kicap..

Pada tahun 1993, usia 20 tahun, time ni memang tengah meletop la kat kampung hi hi perasann....sila jangan percaya, saja je nak sedapkan cerita... diterima bekerja di Jabatan Perangkaan Malaysia Cawangan Negeri Terengganu sebagai Pekerja Kontrak/Sambilan, ..tugasnya adalah membuat bancian. Keluar buat banci dari hotel ke kedai ke restoran ke pasar ke gerai-gerai pisang goreng...kena tengok projek Jabatan tahun tu untuk apa…nanti Kak Aya kongsikan pengalaman menjadi pembanci..Insyaallah kalau tak lupa.

Akhir Dec 1995, kontrak tamat..kembali duduk di rumah menunggu peluang pekerjaan yang lain..satu hari tu terima surat panggilan temuduga, pejabat syarikat tu adalah di KL tetapi temuduga akan di jalankan di negeri Terengganu..Kak Aya pun mula berkomplot dengan Ucu , apa kata kalau terus aja pergi temuduga tu di pejabat KL sana je, susah nak dapat peluang untuk cari kerja di KL kalau Kak Aya tolak peluang ni, Ucu bersetuju dan Kak Aya bagitau keluarga ( mak, tok dan tok ayah - mereka ni ada kuasa veto) yang Kak Aya mendapat panggilan temuduga di KL dan berjanji akan jaga diri sebaik mungkin bila tinggal dengan Ucu, akan dengar cakap Ucu sepanjang masa dan macam-macam janji lagi la..Ucu pun menerima amanah daripada3 pemegang kuasa veto tadi agar menjaga Kak Aya ni sebaik mungkin..

Sebab apa kak Aya nak sangat ke KL? Pertamanya takut kena paksa kahwin, tau je la di usia macam tu, dah la hot kan? Hi hi...sejujurnya memang kak aya sentiasa dalam keadaan takut...takut kena kahwin dengan pilihan keluarga..kak aya memang gadis pingitan yang tak banyak bergaul, tak pernah ada teman lelaki sepanjang hidup, ada beberapa yang bertanya-tanya pada mak sebelum-sebelum tu tapi Kak Aya berjaya menepisnya tapi kalau tunggu lagi lama di kampung dengan status penganggur, rasanya memang cepatlah kena pinang, kak aya nak kerja lebih lama, nak tanggung keluarga, kahwin tu tak tau berapa di tangga ke berapa.

Akhir April 1996,Kak Aya pun mula berhijrah ke bandaraya Kuala Lumpur .Ucu ketika itu menyewa bilik di flat rumah kedai di Jalan Perhentian( Wisma NYT) , menyewa bersama kawan senegeri, Kak Mai.. Kali pertama tengok bilik sewa tu,terkejutsungguh-sungguh sebab terlalu sempit..seumur hidup Kak Aya tak pernah hidup makan minum tidur di dalam ruang yang sempit sebegitu tetapi Kak Aya perlu membiasakan diri. Rasanya luas bilik tu mungkin 10 kaki x 10 kaki je kot.kalau tidur 4 orang memang berhimpit la, kalau 3 orang memang ngam-ngam..sebab dalam bilik tu ada TV,cabinet TV, 2 Kabinet pakaian, Peti ais, periuk nasi semua dalam tu..sempit fikiran tapi bersyukurlah sebab bilik sempit tu mampu menjadi tempat kami berlindung, dengan kadar sewa sebanyak RM150 sebulan. Kalau bagi 3 dapatlah RM50 seorang, bil letrik pulak kena bagi dengan berapa kepala yang menyewa untuk 1 floor tu.

Time tu asyik terkenang rumah di kampung, walaupun kami ni hidup susah tapi rumah kami luas dan besar, biasalah rumah kampung…jarak antara tangga depan hingga ke dapur sungguh jauh..cakap pun menjerit-jerit..bila duduk bilik sempit ni kena la belajar cakap slow-slow sikit..itu antara hikmahnya..mengajar diri jadi lebih bersopan santun dan berhemah bila bercakap. Time tu baru la tau betapa bersyukurnya hidup di kampung, susah macam mana pun tetap selesa, dapat makan nasi 3 kali sehari sebab kami kan golongan petani, beras tu sentiasa ada kat dapur. Tapi bila hidup di KL ni, semua kena ambik kira..semua kena catu..semua kena disiplin.

Berbalik semula kisah nak pergi interview..2 May 1996, Kak Aya beranikan diri ke pejabat yang sepatutnya temuduga di jalankan di Terengganu tu..tak sangka Kak Aya dapat keberanian untuk pergi seorang diri dan hari tu jugak saya ditemuduga..Dan hari tu jugak keputusan temuduga diperolehi. Alhamdulillah Kak Aya dapat kerja tu, Kerani Am., Gaji 500.

Syarikat tersebut adalah sebuah syarikat jualan langsung, bertempat di dalam salah satu bangunan di Jalan TAR. Syarikat ni kepunyaan 3 adik beradik perempuan berbangsa India. Pekerjanya 4 India dan 4 Melayu termasuk Kak Aya.

Hari pertama kerja sangat-sangat mendebarkan..apa taknya, Kak Aya ni seorang gadis sunti dari kampung yang selalu orang cakap agak konservatif dan kalau tengok je muka dan pakaian memang terserlah kekampungannya. Pergi balik kerja naik BMW ( bas mini wilayah) yang sungguh laju dan sendat itu. Memang satu pengalaman baru yang sungguh hebat la sangat , pada masa tu.

Ada 3 bos – 1 bahagian kewangan, 1 bahagian Jualan, 1 bahagian pentadbiran..

Gaji RM500, bila tolak EPF dan Socso, dapat dalam RM448 macam tu la setiap bulan. Tiada cuti tahunan selagi belum disahkan jawatan. Tempoh untuk disahkan jawatan adalah setahun. Tiada kenaikan gaji juga selagi tak confirm.

Kak Aya banyak memohon kerja di tempat-tempat lain , Kak Aya berdoa agar tak lama la di syarikat tu

Tiap pagi celik je mata, selalu rasa nak menangis untuk pergi kerja..teruk betul la saya ni…takut nak masuk ofis..Ucu selalu tanya, takut apa? Tak tau la tapi rasa cuak je…Ucu cakap biasalah kali pertama jejak kaki di KL, ..datang-datang terus dapat kerja, syarikat pulak bukan kepunyaan orang Melayu. Hidup di Terengganu nunnngg nak jumpa bangsa lain memang susah, pergi sana sini memang jumpa orang Melayu je la, memang jakun la bila sampai KL ni.

Jangan jemu baca entry ni ye sebab panjang berjela...(mana tau ko2t ada silent reader yang suka baca blog Kak Aya)



******************************************************************************************************

Disebabkan entry panjang, makanya banyak hari la ambik masa untuk siapkan 1 entry...

Masih lagi berkisar di tempat kerja di Jln TAR tu...ringkasnya apa yang nak dikongsikan adalah:

1. Seawal jam 8 kak aya dah sampai ofis, time-time gitu pada tahun 1996, jalan raya di Jalan TAR masih belum sibuk...tenang je..beli nasi lemak, tapau makan kat tangga ofis...kesian kan? Pintu ofis memang kunci selagi belum 8.30..pemegang kunci ofis pun tercongok kat tangga..tunggu 8.30..mana yang sampai awal memang bersarapan atas tangga tu.

2. Tugas hakiki Kak Aya bila masuk je dalam ofis tu, kena isikan air untuk 3 bos..1 bos ada 3 termos . Isikan la ke semuanya. Dah siap bab air, kena monitor pulak cleaner yang datang bersihkan pejabat..kak aya tak tau kenapa kena monitor macam mandur pulak dah gayanya..kesian cleaner tu, kak aya asyik ekori dia buat kerja je..masa mula-mula tu kak aya mintak maaf sebab asyik mengekor je, dia cakap memang kalau kak aya tak kerja sini , orang lain yang akan mengekor je, dia dah biasa...bila dah siap kerja-kerja vacuum, lap meja segala bagai, baru la kak aya dapat duduk kat meja kak aya tu.

3. Kalau ada apa-apa data yang perlu dimasukkan dalam file komputer, kak aya akan buat kerja-kerja memasukkan data pembeli.

4. Kak Aya juga bertugas untuk packing barang-barang untuk keperluan marketing staf yang akan buat kerja-kerja promosi di seluruh Malaysia, ada seorang lagi staff yang buat kerja-kerja packing, dia ni macam Stor Executive la, semua benda dalam stor tu dibawah jagaan dia, nama-nama barang, jumlah stok, semua dalam pengetahuan dia, Kak Aya jadi pembantu je...nak packing pun terkial-kial...biasalah benda yang tak pernah buat..

5. Lunch hour, pintu pejabat dikunci..semua berdedai la keluar mencari makanan...biasanya mereka akan makan sama seperti sarapan tadi, makan atas tangga sambil borak..Kak Aya selalunya makan dalam surau Bank Islam..hari-hari makan situ..makan pun ala kadar je, nak jimat..memang belajar berjimat la , jimat sungguh-sungguh ketika tu, badan pun kurang lemak time tu..kak Aya terus bersolat jemaah di surau Bank Islam, lepas tu lari-lari anak balik ke ofis semula...lecehnya bila tempat kerja tak sediakan tempat untuk solat. Waktu Asar pulak solat je kat rumah...

6. Percaya tak , tiap bulan kami terima gaji secara tunai tau....Kak Aya dan seorang lagi staff Melayu akan bawak envelope dan dokumen yang berkaitan, akan ke Menara Maybank untuk tunaikan gaji pekerja..bahaya kan? Kami borak-borak sambil jalan bawak duit yang banyak..Alhamdulillah tak pernah terjadi perkara yang tidak diingini sepanjang ulangalik ke bank. Nanti pegawai kewangan akan bahagikan gaji kami, beraturlah kami semua untuk terima bahagian kami, yang sen sen pun kami terima.

7. Kak Aya banyak apply kerja, daftar di tempat pencari kerja, sebab nak dapat kerja yang lebih baik ....Kak Aya pernah dapat tawaran kerja sebagai cashier di Maybank tapi akhirnya tawaran tu ditarik balik kerana kak aya seorang yang rabun warna, cashier tak boleh ada masalah rabun warna...tak apalah tak ada rezeki di situ.

8. Pertengahan September 1996, dapat interview kerja kerani di sebuah syarikat insurans, bertempat di Jalan Ipoh..ohhh gembiranya sebab dekat dengan rumah..gementar gila datang interview...siap berlipstik time tu...hmm ....dapat kerja tu. Gaji permulaan 700, kerja 5 hari seminggu ( sangat woww time tu sebab tak banyak company yang kerja 5 hari seminggu, Ucu jeles ha ha ), ada bonus tahunan 2 bulan gaji, kemudahan insurans dan perubatan, kenaikan gaji 5% setiap tahun, cuti tahunan 14 hari setahun, cuti sakit 28 hari setahun...Syukurnya time tu tak tau nak cakap macam mana....paling happy dapat tinggalkan company di Jalan TAR tu.

Di syarikat baru ni la bermulanya sebuah kehidupan yang lebih baik, di sini jugak bertemu dengan suami...Alhamdulillah kak Aya masih kekal di sini hingga sekarang..walaupun sekarang ni asyik fikir nak berenti kerja, nak duduk rumah je...


Untuk seterusnya kita akan jumpa semula nanti ye.

Terima kasih sudi baca.

Ketagih Tudung Aidijuma

Assalamualaikum,

Macam-macam penyakit sekarang ni yang datang menyerang..ada virus jahat yang sukar nak dibendung.

Biasanya virus yang datang menyerang tu ada kaitan dengan nafsu dan duit.

Tau tak kegilaan apakah yang sedang melanda Kak Aya ni?

Tak dapat tahan tengok koleksi tudung Aidijuma. Itu belum campur dengan keingian nak membeli jubah la, sandal la...haisshh ntah la, sebenarnya sudah terlalu lama gila tak membeli semua tu untuk diri sendiri.

Memang tak tertahan melihat gambar-gambar tudung aidijuma ni, coraknya cantik-cantik dan kebelakangan ni memang extra cantik ..meleleh air liur sampai ke kaki pun tak mampu nak kejar sebab tiap minggu keluar design baru..adoiii boleh tercirit dibuatnya...sebab tu la lama dah tak beli...taubat kejap.

Ni gambar-gambar kat bawah semua yang Kak Aya belum ada, belum sempat beli, tak sempat beli, apa pun motif yang nak disampaikan adalah belum cukup duit untuk melabur pada pembelian tudung ni ..tapiiii biasalah ,tak dapat beli dapat tengok pun cukupla.







Tudung cantik, tuan tudung lagi cantik, pakai la corak apa pun tetap nampak cantik menawan..makin cantik berseri Datin Norjuma sekarang kan?

Ada tak yang alami kegilaan yang sama macam Kak Aya ni?

Jom share.


Sembang Mak Alang

Assalamualaikum,

Dah tidur ek semua? Mentanglah hujan lebat selebatnya semua dah off lampu..Kak Aya tengah mesin baju tu, 2 anak dah tidur, 1 lagi tengah buat homework, baru balik tuition ..basah kuyup dia...pengorbanan seorang pelajar .

Pengorbanan seorang bapa pulak meredah banjir sepanjang jalan menuju ke tempat tuition.

Pengorbanan seorang ibu? Mengadap PC...tengah cari beberapa info sebenarnya ...info tentang kesihatan dan kecergasan.

Sejuk sikit malam ni hujan turun selebatnya ...terasalah sikit kedinginannya..kalau tidak bermandi peluh sepanjang malam, rumah Kak Aya tak ada aircond.

Mula -mula nak belanja gambar terbaru Kak Aya yang sihat walafiat ni. Alhamdulillah.





Jelas kan ke- sihat-an nya Kak Aya ni...tengok tang pipi tu...dagu tu..lengan tu..perut tu..ahh semua la

Bandingkan pulak dengan orang sebelah tu...alahai ....

Sebenornya Kak Aya ni memang berisi sejak kecik lagi...memang tak dapat ingat la bila saatnya berbadan ramping macam kawan-kawan..jealous sangat rasanya...apa pun syukur la kerana tetap jugak sihat dan cergas melakukan kerja ofis dan kerja rumah.

Dulu masa belum kahwin, Kak Aya pernah join kelas aerobic kat pejabat...tapi sejak beranak pinak ni, tak ada aktiviti senaman yang khusus..kerja rumah tak abis-abis...

Dengan kerja sebagai driver tak bergajinya...ke sana ke sini.tapi badan tak susut langsung..

Nampak sangat kan kalori masuk lebih banyak daripada kalori yang dibakar hu hu...

Ni tengah fikir jugak ni,nak exercise waktu bila la agaknya..memang macam tak tau bila...sampai bila bila he he.

Bangun tidur jam 5 pagi..selalunya baru je bergerak selangkah dua Zahra akan terjaga sama, dia nak menyusu..kadang-kadang bukan nak menyusu sangat pun tapi lebih kepada nak kita ada kat sebelah dia..sudahnya Kak Aya akan sama-sama terlelap semula , kadang tu sampai azan Subuh berkumandang..dah mula la kelam kabut ..siap itu ini zup zap dah sampai masa nak keluar untuk ke pejabat.

5.15 waktu balik, sampai rumah biasanya Maghrib...letih jangan cerita la kan, semua sama sama tau sama sama faham la keadaannya kalau dah bekerja kan?

Sampai rumah je , mula-mula memang pakat kelam kabut nak mandi, solat, mengaji, makan malam..yang Zahranya pulak time ni la menangis nangis nangis nangis nak menyusu, ye la kan tinggalkan dia sepanjang hari...Zahra memang tak nak susu lain ..kesian dia...susu Kak Aya pun dah tak banyak, ntah berapa titis yang dia dapat minum setiap hari..pam pun dah tak nak keluar lagi dah.

Waktu malam boleh dikatakan masa untuk Zahra...selagi dia tak tidur memang tak boleh berenggang la.. hanya ibu yang memahami perasaan seorang ibu..letih penat seorang ibu...tapi ibu tetap bersemangat dan ceria sampai ke waktu tidur..sedar-sedar bila dah baring tu terasa la yang amat lenguh semua anggota sendi.

Kalau tak tengok blog biasanya jam 12 malam dah tidur..dah siap gosok baju dan tengok buku anak-anak. Kalau tengok blog masa tidur akan lari lari lari..kadangnya sampai 4 pagi masih terkebil-kebil depan PC,tak update blog pun, mengadap je yang lebih.

Ni yang pening sikit ni , waktu mana nak celah untuk exercise, waktu sebelum tidur atau seawal 4 pagi ?

Rasanya baik time 4 pagi kan?

******************************************************************************************
Kak Aya memang tak masak sepanjang weekdays....masak time weekend je..biasa beli je dari gerai kakak taman sebelah ni ha..macam-macam lauk ada..semua panas - panas.

Beli dan bila sampai rumah jam 7.30 tu ,lepas anak-anak dah siap mandi, solat dan mengaji, terus makan malam...anak-anak memang balik dalam keadaan perut kosong, tak sesabar dia orang nak makan.
Kak Aya memang respek la pada kaum ibu yang bekerja dan  dalam masa yang sama boleh masak hari-hari untuk keluarga.

*****************************************************************************************

Sekarang ni kalau ada masa untuk sembang-sembang dengan sahabat baik Kak Aya di pejabat tu, topik selalunya mengenai GST..dua maksud GST pada kami...satu GST yang memang GST tu la...kadang-kadang sampai takut nak berbelanja tapi mana mungkin tak berbelanja kan? Kita ni memang jenis berbelanja untuk keperluan je tiap bulan...pakaian pun dah lama tak bertukar...tudung Aidijuma je pun yang mampu beli sesekali, yang RM10 sehelai tuuu..

GST yang satu lagi adalah Gemuk Sangat Tuu...ini merujuk kepada tuan punya badan la...sahabat tu kurus je tapi tak pernah dia rasa dia kurus..hari-hari cakap dia gemuk gemuk gemuk selama hampir 20 tahun persahabatan kami...adoooi la...

******************************************************************************************
Ok la dah nak pukul 12 tengah malam dah ni..meraban je Kak Aya ni macam orang mengigau pulak ntah apa-apa cerita.

Kita stop dulu.

Mintak maaf sangat-sangat sebab belum ada waktu untuk blogwalking..untuk DianaRashid terima kasih banyak-banyak hari-hari datang sini.



Diet Pesakit Kegagalan Buah Pinggang

Assalamualaikum

Mula-mula nak update tentang pemenang contest baru-baru ni...hadiah semua dah diposkan beberapa hari lepas, dah ada yang selamat terima..kepada yang belum terima harap bersabar ye. Insyaallah sikit hari lagi sampai la tu.

Sekarang kerja sampingan Kak Aya bila Zahra dah tidur ialah "menggoogle" tentang pesakit buah pinggang.

Banyak jugak maklumat yang dapat digali.

Kalau ada follower Kak Aya yang ada info tentang pesakit buah pinggang dari segi penjagaan makanan, kesihatan, dialisis, rawatan alternatif, harap dapatlah kongsi ye.

Kalau malas nak komen kat bawah ni, boleh la emailkan kepada rohayayusof73@gmail.com

Terimakasih didahulukan.

Mengenai diet untuk pesakit buah pinggang ni,rasa macam agak susah sikit sebab tak dapat penjelasan yang tepat daripada doktor.

Bukan la nak kondem ke apa tapi kenyataannya macam tu la, hari terakhir masa nak keluar wad, Kak Aya ada bagitau doktor nak jumpa dia sebelum discharge, doktor cakap tunggu dia free dia akan datang ke katil...sampai sudah tak datang.

Memang kena ada inisiatif untuk bertanya dan cari dalam internet..setakat ni makcik Kak Aya memang tidak begitu berselera mungkin masih terkejut dengan keadaan sekarang tapi berbanding mula-mula hari tu selera sekarang agak ok.

Mungkin perlu ambil masa untuk kembali berselera seperti sebelum ni.

Kak Aya ada jumpa ni di blog NUDA, Kak Aya rasa ini sangat berguna dan boleh dijadikan panduan kepada makcik dan orang lain jugak.

Terima kasih ye Nuda,  Kak Aya mohon untuk share di sini.

"Apabila dah memulakan hemodialisis, ada beberapa perkara yang perlu dititikberat terutamanya pemakanan dan ubat-ubatan. 

Sekadar untuk perkongsian, saya nak ceritalah apa yang diberitahu oleh doktor dan nurse. 

1) Perlu kawal pemakanan yang mengandungi tinggi kalium (potassium) dan phosphate. Antara makanan yang tinggi potassium & phosphate ialah tomato, potato, buah-buahan berwarna kuning (mangga, oren, durian, pisang), sayur-sayur hijau, seafood. Nampak macam makanan sihat kan? Baik untuk orang sihat, tidak untuk pesakit buah pinggang. Saya juga diajar agar merendam sayur hijau barang 3 jam untuk menyingkirkan potassium daripada sayur tu. Kiranya saya makan fiber jelah.. Yelah, kalau tak makan fiber karang sembelit pulak. 

2) Pengambilan protein boleh macam biasa asalkan dari sumber yang segar bukan processed food (such as nuggets, burger, makanan dalam tin-sardin, baked bean). 
 Protein masih penting untuk menjalankan fungsinya misalnya untuk pembinaan otot dan hemoglobin. 

3) Oleh sebab saya ni ada hypertension, makanan tinggi garam, ber-MSG, kicap (makanan ruji ni.. huhuhuh), sos, mi segera, jajan memang kena elak la.. Ubat hypertension makan macam biasa kecuali kalau dekat sangat dengan masa dialisis. Misalnya selalu makan ubat pagi dan petang, tapi ada dialisis waktu pagi. Jangan makan ubat pagi sebelum dialisis tu. Selepas takpe. Sebabnya, tekanan darah boleh turun mendadak masa hemodialisis. Dah rasa dah ni.. Hypotension namanya. Tetiba rasa tak cukup oksigen, nak muntah, kebas, tak selesa, pening. Biasanya diorang suruh saya goyangkan kaki dan kalau teruk sangat diorang bagi saya oksigen. Orang dah biasa tekanan darah tinggi tak apa-apa, tetiba bila tekanan darah turun jadi 100/60 dah rasa macam nazak je. Hehehehe.

 4) Doktor juga pesan untuk jalan-jalan barang 30 minit setiap petang atau berbasikal. 

 5) Pengambilan air perlu dikawal. Kalau ikutkan sehari cuma boleh minum lebih kurang 500 mL air je. Yang ni susah nak ikut sebab saya cepat dahaga dan suka minum air. Bila tak boleh minum air saya mula stress. Tapi oleh sebab saya masih boleh kencing banyak, diorang bagi saya minum banyak sikit. Heheheh. Perlu berhati-hati juga dengan air tersembunyi seperti dalam buah-buahan dan makanan seperti bubur, puding dan jeli. 

6) Pengambilan makanan berminyak dan berlemak pun perlu dikawal sebab kalau berlebihan boleh menyumbat salur darah.. Ni diorang yang cakap.

 7) Pengambilan kalsium juga penting. Biasanya pil kalsium karbonat dikunyah bersama makanan untuk mengikat fosfat dan mengeluarkannya melalui proses penyahtinjaan. Chewah... ilmiah gile bunyinya. Ada sorang TA kat pusat dialisis tu kata, kalau tak amik pil kalsium nanti saya jadi makin pendek. Erk! Fosfat berlebihan boleh menyebabkan masalah pada sendi dan tulang. Walaupun begitu, sumber tenusu tak boleh walaupun kaya kalsium. "

Ok, ini info sangat berguna , terimakasih banyak-banyak NUDA..ada sesiapa yang nak share boleh share di ruangan komen atau pun emel kepada rohayayusof73@gmail.com


Memori Semalam - Part 2

Assalamualaikum,

Kak Aya nak sambung lagi kisah yang tertangguh 2 hari lepas. Kisah perjalanan hidup menjadi anak yatim.

Selepas mendengar perkhabaran yang dibawa oleh saudara tentang kemalangan ayah, Kak Aya mengikut jiran terus ke Hospital Besar Kuala Terengganu ( Kini Hospital Tuanku Zahirah). Sesampai je di hospital, ramai saudara mara ayah berkumpul di luar Wad Kecemasan. Ayah memang mempunyai saudara mara yang sangat ramai.

Sayunya  hati Kak Aya ketika itu...kosong perasaan.. melihat pemandu ambulan membersihkan ambulan yang dipenuhi darah ayah diruang dalam ambulan hati seperti hancur retak seribu.selepas tu terdengar nurse memanggil waris.. Kak Aya masuk ke dalam wad kecemasan dengan 1001 rasa, beberapa nurse sedang mengelap darah..ayah dah tak ada...pergi untuk selamanya.

Keluar dari wad kecemasan, semua mata memandang langkah longlai Kak Aya..hati dipagut pilu yang amat.

Kak Aya berjalan keseorangan seperti di tanah lapang tanpa sesiapa..seolah berjalan tanpa penghujungnya..perasaan yang amat kosong. Tanpa Kak Aya sedar, sKak Aya separuh meraung tiba-tiba, tetapi raungan tu tak berpanjangan setelah mata Kak Aya melihat airmata tok ayah mengalir lebat .

"ini cucu ambe ni..cucu ambe...anak arwah" tok ayah mengongoi..kali pertama sepanjang hidup saya melihat tok ayah mengongoi begitu...saya terus terdiam dan berlagak tenang.

Kami semua pulang untuk menguruskan pengebumian ayah.

2, 3 hari Kak Aya seperti di dalam dunia sendiri. .sukar nak bayangkan kehidupan tanpa seorang yang bergelar ayah kerana mak Kak Aya tidak pernah bekerja sebelum ni, tambahan pulak dia adalah masalah mild stroke sejak kecil lagi.

Dalam fikiran Kak Aya hanya terfikirkan tentang berhenti belajar, tak perlu ambil SPM, terus kerja kilang...itu pemikiran dengan akal yang pendek sebenarnya.

Bila tahun baru 1990 bermula, Kak Aya ke asrama seperti biasa tetapi emosi berbeza...sarat dengan kesedihan. 

Kak Aya redha dengan pemergian ayah.. Allah lebih menyayangi beliau tetapi Kak Aya terfikir bagaimana untuk teruskan kehidupan setelah tiada ketua keluarga.

Kurang 3 bulan kembali ke asrama, Kak Aya bertukar sekolah, balik belajar di sekolah berhampiran dengan rumah, tak hampir sangat pun, perlu naik bas, basikal atau motorsikal untuk ke sekolah. Kak Aya rasa agak terganggu emosi kerana rasa kehilangan begitu menyelubungi perasaan, sebelum ni pun asyik banjir airmata je bila kembali ke asrama,tambahan pulak ayah dah tak ada, sentiasa pecah kolam airmata ni.

Dipendekkan cerita keputusan SPM Kak Aya tak cukup bagus...keputusan untuk bertukar sekolah selepas pemergian ayah bukanlah satu tindakan yang bijak namun tidak la Kak Aya kesalkan kerana ada beberapa kebaikannya bila Kak Aya bersekolah di kampung, antaranya Kak Aya dan adik-adik semua saling berkongsi beban. Mak turut sama merasa lega kerana Kak Aya seolah menjadi kekuatan utama daripada 6 orang anaknya itu.

Tamatlah ringkasan kisah sedih dan perit 1989 dan 1990.

1991 - Kak Aya ambil lagi sekali SPM. 
1992 - Dapat tawaran melanjutkan pelajaran di Uitm,Kak Aya tolak kerana Kak Aya fikir nak bagi peluang kepada adik-adik belajar setinggi yang boleh.
1993 - Kak Aya mula kerja di Jabatan Perangkaan sebagai Pembanci Sambilan,abis kontrak pada tahun 1995.

Selepas pemergian ayah, bila tiba musim nak buka sekolah, Kak Aya dan adik-adik akan ke bandar Kuala Terengganu untuk membeli pakaian sekolah adik-adik. Bila sekolah buka, hari pertama tu, Kak Aya yang akan hantar adik-adik ke sekolah.

Begitu juga bila nak buat persiapan hari raya, Kak Aya la yang akan bawak adik-adik, naik bas pergi shopping baju raya.

Dulu tak ada sangat orang nak bagi bantuan kepada anak-anak yatim, mungkin kerana fahaman politik keluarga kami yang berbeza jadi tiada bantuan daripada pihak kerajaan yang sampai ke tangan kami.

Tapi ketika itu, kami memang tidaklah egitu mengharapkan bantuan sebab ayah ada meninggalkan duit insurans dan duit KWSP untuk kami ..cukuplah untuk biaya persekolahan dan makan ala kadar.

Tok Ayah pulak membanting tulang di sawah padi..katanya, biarlah tak ada ayah jangan tak cukup makan...dengan adanya beras kita boleh kenyang, tak akan berlapar sekali pun tak ada lauk lain. Memang kesian tengok Tok Ayah yang kurus , dah berusia lanjut tetapi perlu bekerja keras untuk menyara 6 orang anak yatim.

Ketika itu, hubungan kami adik beradik sungguh rapat..banyak sekali kenangan antara kami adik beradik disaat sukar begitu. Masih basah dalam ingatan sampai kini.

Saat terima gaji walaupun kecil saja , Kak Aya belikan nasi ayam atau apa-apa makanan yang agak lazat , makan beramai dengan adik-adik, mak, tok dan tok ayah, riuh rendah di dapur.

Pemergian ayah banyak mengajar Kak Aya tentang tanggungjawab. 

Akhir 1995, kontrak Kak Aya tak disambung lagi kerana tiada projek yang akan dijalankan dalam masa terdekat itu. Jadi pengganggur la kejap kat rumah. Ketika tu memang sentiasa berdoa agar dapat cari jalan untuk ke KL , nak tinggal dengan Ucu ...sebab tak nak kena pinang hi hi...lawak betul alasan.

1996 - Mula melangkah kaki ke kota batu, Kuala Lumpur.

Sampai jumpa lagi nanti ye..Insyaallah







Emosi pesakit kegagalan buah pinggang

Assalamualaikum,

Kak Aya nak bagitau hadiah untuk pemenang contest baru diposkan hampir 8 mlm tadi menggunakan pos domestik..harap bersabar menunggu ye.

Kak Aya nak share sikit apa yang dilalui Ucu..dah genap sebulan Ucu disahkan mengalami kegagalan buah pinggang diperingkat akhir.

Bacaan creatinine adalah 1500 sebulan yang lepas, belum check darah lagi untuk melihat jumlah creatinine sekarang.

Sejak mengetahui masalah kegagalan buah pinggang itu, Ucu memang kelihatan depress namun dia cuba mengawalnya..Kak Aya tau Ucu kuat semangat orangnya, beliau seorang yang sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah, pasti ujian ini cuba dilaluinya dengan penuh keredhaan.

Kak Aya kesian melihat keadaan dia setiap kali dialisis, selalunya dia hampir pitam, berat badan sentiasa turun, selera sangat kurang, badan dah kurus melidi.

Emosi Ucu turun naik..ada waktunya sangat positif, ada waktunya macam patah harapan, namun kami semua sentiasa memberi dorongan semampu kami. 

Penghujung sebuah kehidupan ini adalah kematian. Itu pasti. Samada pesakit buah pinggang atau pun seorang yang sihat segar bugar pasti menemui kematian. Tidak dapat disangkal.

Memang Ucu tau itu..tapi perasaan memang sukar untuk dipujuk dan ditenangkan, kalau Kak Aya yang melaluinya ntah macam mana pun tak tau la...mohon jangan lah diuji dengan ujian yang berat.

Yakin lah, Allah hanya menguji mengikut kemampuan hambaNYA.

Kini, Kak Aya sekeluarga sentiasa berusaha untuk mewujudkan suasana yang positif jadi tidak la Ucu terasa down je..

Ucu turut mengamalkan meminum segelas air Arabic Gum, sekadar salah satu ikhtiar.

Cuaca panas meletup sekarang ni, Ucu sama seperti pesakit buah pinggang yang lain jugak hanya dibenarkan meminum 500ml air je setiap hari.

Diet Ucu pun bertukar hampir 360 darjah, kesudahannya berat menurun setiap minggu. kini sedang mencari info tentang pemakanan yang terbaik untuk pesakit buah pinggang seperti Ucu.

Ada sesiapa yang ada pengalaman untuk berkongsi diruangan komen, amatlah Kak Aya alu-alukan.


Memori Semalam - PART 1

Assalamualaikum,

Banyak hari tak dapat update, busy dengan kerja ofis yang tak pernah ada penghujugnya..biasalah kan, tu periuk nasi kita, kena la lakukan dengan penuh amanah dan rasa tanggungjawab.

Ni curi masa untuk berblog sementara Zahra sedang melayan cerita Upin Ipin , dapat lah taip beberapa perenggan.

Untuk siapkan satu enty boleh memakan masa berjam-jam untuk disiapkan. Anak dara tu akan menyibuk nak pegang mouse bila on pc.

******************************************************************************************

Entry bersambung lagi lepas Zahra tidur..baru senang nak menaip.

Cadangnya hari ni nak cerita tentang kisah-kisah masa dulu-dulu..kisah mana-mana yang datang dalam ingatan untuk diterjemahkan dalam bentuk penulisan untuk tatapan anak cucu di masa depan..dan mereka yang sudi datang menjengah ke sini....ada sesetengahnya dah pernah cerita pun sebelum ni...pejam mata je la ye.

Kak Aya ni lahir daripada keluarga yang sangat sederhana..nak kata susah tu tak la susah sangat,senang pun tidak ..serba serbi sederhana.

Arwah ayah kerja macam-macam..mula-mula kerja sebagai nelayan di Mersing, lepas bekerja di pelantar minyak..2 minggu di darat dan 2 minggu lagi di laut..tak lama kat situ, kerja sebagai penjual ikan..time ni best sebab dapat makan ikan , udang, sotong yang fresh setiap hari. Last ayah kerja sebagai kelindan lori balak .

Kami semua ni tinggal serumah dengan tok dan tok ayah ( keduanya dah arwah, ALFATIHAH).

Tak banyak yang masih tersimpan dalam ingatan babak-babak kehidupan sebelum bersekolah dulu, ada tak ada ingatan tentang keseronokan bila ayah belikan lampu gasolin ( org Terengganu panggil lampu spirit), menjelang malam ayah akan nyalakan lampu tu dan rumah akan terang benderang...rasa satu keseronokan yg amat sangat bila dapat cahaya.

Keseronokan berganda bila selepas tu bila kampung dah mula ada letrik, ayah belikan TV , hitam putih je tapi tahan lama berpuluh tahun..TV yang ada pintu buka tutup tu.

Tahun 1980, Kak Aya mula masuk darjah 1..dah lama kan? Seminggu ayah menunggu sepanjang hari di sekolah..hi hi buat malu kat anak-anak je ..lepas habis seminggu ayah tunggu sampai loceng berbunyi je, lepas tu dia cabut balik la...

Bila ayah cakap - "ayah balik dulu ye?"
Laju mengangguk, tak berani weh nak geleng, arwahnya tegas bab-bab sekolah ni.

Ayah melangkah je, airmata berjejeran....begitu  la setiap hari sehinggalah airmata dah kering kot barulah tak menangis dah.

Sejak airmata dah kering, kehidupan di sekolah amatlah membahagiakan hihi...

Kak Aya ada 5 adik ..1 perempuan dan 4 lelaki..agak rapat jugak la jaraknya menjadikan Kak Aya ni kakak yang paling sibuk antara rakan sebaya.

Dalam usia 12 tahun, peranan sebagai seorang kakak dah hampir sama macam peranan seorang ibu..ada waktunya rasa macam nak protes...sebab nak kemana je mesti bawak sorang dua talibarut sebagai peneman..terasa leceh la...menyusahkanla...macam-macam la..biasalah budak baru nak up..up la sangat kan?

Usia 13 tahun, Tingkatan 1..masuk sekolah berasrama..sekali lagi hidup dihujani airmata..kali ni banyak pulak airmata dalam kolam tadahan..berbulan-bulan menangis pun tak kering-kering...memang tiap kali nak ke asrama, menangis bersungguh-sungguh...sampai naik tingkatan 3 pun tak berubah-ubah..asal sampai asrama petang Sabtu, haa mula la drama airmata dalam dorm..

Kak Aya berada di asrama hingga penghujung Tingkatan 4 je...ketika cuti sekolah akhir tahun, ayah terlibat dengan kemalangan jalan raya dan meninggalkan kami untuk selamanya. Tragedi berlaku pada 24 Nov 1989 kekal terpahat dalam ingatan, masih basah lagi ni...

Pagi Jumaat, 24 Nov 1989..ayah membawa pulang ikan keli, dia dapat daripada kawan..pastinya tok akan masakkan lauk kegemaran ayah, kari ikan keli...tok yang selalu jadi chef kat rumah tu, mak hanya sebagai pembantu chef. Ini adalah kerana tok sangat cerewet orangnya tentang masakan..so itu memang kerja dia la..

Tengah hari Jumaat, 24 Nov 1989, kami makan bersama...hari ni ada gurauan antara kami..sebenarnya kami jarang bergurau dengan ayah...betul, memang sangat jarang sekali bergurau....kalau dia ada di rmah kami lebih senang bercakap secara perlahan-lahan, berjalan ayu gemalai sebab tak nak bagi berbunyi..tau je la rumah kampung kan rumah papan...jalan kuat sikit berbunyi-bunyi la lantai..ayah pulak kerja kelindan lori balak time tu..hari cuti adalah hari untuk dia berehat.

Berbalik kepada kisah dihari kemalangan itu, ketika sedang makan tengah hari tu, jiran sebelah rumah datang rumah ( dia ada datang sebelum tu untuk pinjam motorsikal ayah)..dia bagitau motor ayah tu tiba-tiba tak hidup pulak...dia mintak ayah datang tengok , kejadian tu di kampung sebelah.

Dah siap makan ayah pun turun, memakai kain batik bertanah merah.( memang orang lelaki sebelah Pantai Timur lebih kerap memakai kain batik berbanding pelikat), mak menegur gaya ayah berjalan, katanya ayah kamu tu berjalan  pincang pulak dah..ntah la pincang macam mana, Kak Aya tak hirau pun komen mak tu.

Rasanya tak la lama sangat daripada tempoh ayah turun, datang pulak sedara tergopoh gapah..

"Jusoh berlanggor, mati doh agoknya"

Itu perkhabaran yang sangat pedih..tanpa berlapik, ayat yang betul-betul jelas.

Punya la mak terkejut, lemah longlai dia jatuh melorot.

Memang mak tak begitu sihat dah beberapa bulan.

Sebagai anak sulong, pastinya Kak Aya mesti kuat sekalipun hati serenyuk tisu basah...memang tarikh tu adalah permulaan sebuah kehidupan ..satu perjalanan yang sangat jauh.

Ok baru perasan dah panjang sangat dah ni...nanti jadi cerpen pulak..kita sambung lagi ...Insyaallah.