"Anak-anak Syurga" oleh Ibnu Ahmad Al Kurauwi

ANAK-ANAK syurga. Mereka bukanlah malaikat. Mereka manusia yang baru mengenal dunia. Belum sempurna agama. Maka tidak hairan, ada yang putih akhlaknya, tidak kurang yang hitam warna nakalnya. Ibu-ibu syurga mendidik anak-anak syurga yang hitam dengan sabar, menyambut yang putih dengan syukur. Anak syurga yang hitam bangun daripada liat subuh yang kelam, kini bertatih terkial-kial membersih diri. Kadang-kadang sempat tersengguk di gigi air. Bapa-bapa syurga tidak kalah memujuk anak-anak syurga; bahawa di sebalik kelam fajar, ada pahala yang besar. Balasannya syurga yang benar!

Anak-anak syurga mahu dikelek ke rumah Tuhan. Melihat rumah Tuhan, laksana syurga yang indah lagi terbentang luas. Kata anak-anak syurga, “Bukankah telah difirmankan Tuhan bahawa syurga itu luasnya seluas langit dan bumi.” Maka tidak hairan, laman masjid, kerap menjadi trek lumba lari berganti-ganti. Mimbar kadang-kadang menjadi acara sembunyi-sembunyi. Mihrab kadang-kadang menjadi tempat mereka beraksi. Kata anak-anak syurga lagi, “Bukankah, dinding-dinding syurga itu batu-bata daripada perak dan emas. Tanahnya pohon kimkuma (Za’faran) dan buminya kasturi.”

Ibu-ibu syurga jegil mata. Meletak jari telunjuk ke bibir retak. Mengetap gigi memandang ngeri. Lantas membimbing anak-anak syurga ke saf solat yang pertama. Bapa-bapa syurga meluruskan saf anaknya dalam baris dewasa agar lekas matang agamanya. Kata bapa-bapa syurga, “Anak-anak syurga, safnya bukan bersama-sama rakan sebaya yang piatu tanpa kehadiran bapa dan ibu”. Kata ibu-ibu syurga, “Jangan memandang anak-anak syurga dengan amarah kerana merekalah yang mengajarkan anak-anak syurga akan taharah. Kata bapa-bapa syurga, “Jangan pujuk anak-anak syurga dengan laku yang buruk kerana merekalah yang memastikan sempurna segala wuduk.”

Penjaga rumah Tuhan, pemakmur rumah Tuhan mengurut dada sambil merungut berjela-jela. Ada yang membenci mereka bagai melihat khinzir terlepas ke dalam huma. Penjaga rumah Tuhan, pemakmur rumah Tuhan kemudian mengusir anak-anak syurga, mengeji ibu bapa syurga kadang-kadang dengan bahasa ahli neraka. Kata mereka, anak-anak syurga itu najis! Kemudian bangga meletakkan papan tanda bahawa masjid dan surau hanya zon orang tua!

Anak-anak syurga bukan jin ataupun syaitan. Mereka manusia yang baru mengenal Tuhan. Kita, si penjaga rumah Tuhan, pemakmur rumah Tuhan yang kononnya sempurna agama, kadang-kadang berakhlak macam haiwan. Akhirnya anak-anak syurga memendam perasaan. Mahu diadunya kepada Aki dan Tok Wan lalu berlari pulang menyeberang jalan. Kenderaan bersimpang-siur ke kiri dan ke kanan. Anak-anak syurga melintas jalan dan asbab kepada sebuah takdir, sebuah kereta putih berbumbung hitam meragut nyawa anak-anak syurga. Luluh hati ibu syurga menyambut khabar dengan sabar. Alhamdulillah, puji bapa syurga meriba anaknya dengan linangan air mata. Kata ibu bapa syurga, “Innalillah, sesungguhnya kami hamba-Mu yang reda!”

Benarlah sabda Nabi, “Apabila anak seorang hamba itu mati, maka Allah SWT berkata kepada malaikat-Nya: Kamu telah mengambil nyawa anak hamba-Ku. Jawab para malaikat; Benar! Berkata Tuhan lagi: Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya. Jawab para malaikat: Benar. Berkata Tuhan pula: Apa kata hambaku? Jawab para malaikat: Mereka telah memuji-Mu lalu mengucapkan Innalillah…, Berkata Tuhan: Dirikan bagi hambaku sebuah istana di syurga dan namakan istana itu dengan nama “Bait al-Hamd.” Hadis riwayat al-Termizi dan Ibn Hibban.

Comments

Popular posts from this blog

Sesekali ..

Rindu seorang ibu